Wakil Inasoc Jumpa MOM Rabu Ini

Diterbitkan: Selasa, 28 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa siasatan ke atas dua atlet negara yang gagal ujian antidoping akan ditubuhkan selepas perbincangan antara Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (INASOC) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diadakan, kata Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi.

Beliau berkata wakil INASOC akan mengadakan perjumpaan dengan MOM pada Rabu ini di sini bagi membincangkan cadangan penubuhan jawatankuasa itu.

Pertemuan itu akan diadakan di pejabat MOM berikutan panggilan telefon Presiden INASOC Rita Subowo ke atas Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar pada 25 Feb lepas.

"Kalau mereka tidak mahu menubuhkan jawatankuasa siasatan tersebut, mereka boleh memindahkan tugas tersebut kepada kita (MOM), tapi sehingga kini mereka (INASOC) belum memberi kata putus," katanya.

Pada 21 Dis lalu, INASOC memaklumkan kepada MOM bahawa sampel A ahli pasukan 4x400m yang merangkul emas Mohd Yunus Lasalleh dan pemenang pingat gangsa acara angkat berat 105kg, Firdaus Abdul Razak didapati positif menggunakan bahan terlarang manakala keputusan sampel B turut positif.

Kok Chi berkata Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak mempunyai kuasa untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan doping melibatkan atlet mereka kerana perkara tersebut terletak sepenuhnya di bawah kuasa INASOC.

Berdasarkan peraturan Agensi Anti-Doping Antarabangsa (WADA), setiap jawatankuasa pengelola temasya sukan diwajibkan menubuhkan jawatankuasa antidoping mereka sendiri bagi memantau penyertaan setiap atlet yang bertanding.

"Hasil keputusan jawatankuasa siasatan tersebut turut akan kita (MOM) maklumkan kepada KOM dan PABM," katanya.

Sementara itu, Kok Chi berkata MOM tidak bersetuju dengan lima wakil yang dicadangkan KOM bagi mengisi panel siasatan bebas untuk menyiasat petisyen yang difailkan oleh 42 atlet dan 16 jurulatih olahraga negara ke atas Timbalan Presiden KOM Karim Ibrahim.

Lima wakil yang dicadangkan KOM ialah Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Pesuruhjaya Sukan, KOM dan MOM.

"Jangan libatkan wakil-wakil tersebut termasuk MOM sendiri tapi ambil orang lain yang bebas dan tiada kepentingan dalam kes doping ini, kita bukan bebas," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata MOM bersedia untuk membantu badan induk olahraga negara itu bagi mencadangkan nama-nama yang sesuai untuk mengisi panel yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat.

Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini dilaporkan telah menyatakan persetujuan dengan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Vadaketh Chako George sebagaimana yang dicadangkan oleh MOM bagi mempengerusikan panel berkenaan bagi menyiasat petisyen itu.

Petisyen bertajuk "Laporan dan Aduan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Presiden KOM" bertarikh 13 Februari 2012 setebal 20 muka surat itu antara lain meminta Karim disingkirkan daripada jawatan yang disandangnya kini kerana didakwa menjadi dalang di sebalik kegagalan ujian antidoping ke atas Mohd Yunus.-BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan