MTBC Rangkul Anugerah SAM Bagi Persatuan Paling Dinamik

Diterbitkan: Jumaat, 24 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dinamakan pemenang anugerah 'Persatuan Paling Dinamik 2011' SAM-100PLUS-KBS yang julung kali diperkenalkan oleh Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM).

Dalam satu kenyataan hari ini, SAM berkata persatuan itu yang diketuai oleh Datuk Dr P. S. Nathan dan pasukannya yang profesional menjalankan peranan penting dalam meletakkan sukan boling di peta dunia sejak beberapa dekad lepas.

"MTBC tidak pernah gagal untuk memenuhi jangkaan dan menjadi antara penyumbang utama dalam kejohanan sukan SEA, Asia dan Komanwel. Tidak ketinggalan juga semua kejohanan rasmi yang diiktiraf - Asia, Kejohanan Dunia dan malah menguasai sepenuhnya liga Profesional Eropah," kata SAM.

Antara nama tersohor yang dilahirkan oleh MTBC ialah Ben Heng, Shalin Zulkifli, Lai Kin Ngoh, Sarah Yap, Kenny Ang, Alex Liew, Zulmazran Zulkifli dan bintang terbaru yang diketuai oleh Jacqueline Sijore dan Adrian Ang serta Zandra Aziela Ibrahim Hakimi.

Dr Nathan akan menerima anugerah itu bagi pihak MTBC dalam satu majlis di Petaling Jaya Hilton pada Ahad.

Terdahulu, SAM mengumumkan juara badminton remaja dunia Zulfadli Zulkifli dan bekas juara snuker Asia Sam Chong masing-masing memenangi "Atlet Muda Terbaik' dan 'Atlet Kemunculan Semula Terbaik' bagi tahun 2011.

Kemuncak acara itu ialah penyampaian anugerah 'Atlet Terbaik 2011'.

Kenyataan itu turut menyebut sejumlah 11 calon telah dipilih dan lima daripadanya disenarai pendek dengan pemenang setiap kategori dipilih oleh anggota SAM.

"Lima calon yang disenarai pendek itu masing-masing akan menerima RM1,000 manakala pemenang akan membawa pulang RM10,000 dan trofi kristal," menurut kenyataan itu.

Sebelas calon itu adalah Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol David (skuasy), Pandelela Rinong (terjun), Fatehah Mustapha dan Ju Pha Som Net (berbasikal), Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Jacqueline Jenelee dan Adrian Ang (boling), Aaliyah Yoong (ski-air), Kevan Cheah (wushu) dan pasukan recurve team (memanah).

Sejumlah RM45,000 turut ditawarkan bagi anggota SAM di bawah enam kategori; laporan berita terbaik (cetak), komentar terbaik (cetak), laporan berita terbaik (elektronik), komentar terbaik (elektronik), laporan khas terbaik (cetak dan elektronik) dan fotografi terbaik.

Juara keseluruhan akan dipilih daripada enam kategori ini dan menerima hadiah RM7,000 serta sebuah trofi kristal.

Setiap pemenang bagi enam kategori itu akan menerima RM3,000 dan trofi.

Semua lima calon bagi setiap enam kategori akan menerima RM500 dan medal.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan