Isu Doping Perlu Segera Diselesaikan - Shabery

Diterbitkan: Rabu, 22 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Siasatan Anti-Doping Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) diminta mempercepatkan siasatan isu doping yang membabitkan atlet 400 meter negara Mohd Yunus Lasaleh dan Timbalan Presiden kesatuan itu, Datuk Karim Ibrahim.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tindakan tegas dan sewajarnya perlu diambil terhadap mereka yang didapati bersalah bagi membuktikan bahawa Malaysia serius dalam perkara seumpama itu.

Beliau berkata tindakan dan hukuman yang dikenakan juga perlu mencerminkan ketelusan Malaysia yang sentiasa bertindak tegas terhadap penggunan bahan-bahan larangan dalam kalangan atlet negara ini.

"Saya berharap KOM tidak menganggap ia perkara kecil kerana dunia akan melihat Malaysia sebagai negara yang tidak telus dan tidak bertindak tegas kepada soal membasmi penggunaan bahan-bahan yang terlarang dalam kalangan atlet kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Mesra Belia 1Felda 1Malaysia di sini, Rabu.

Ahmad Shabery berkata kegagalan KOM menangani isu itu secara baik boleh meletakkan Malaysia sebagai negara "terhina" dalam dunia sukan. Menurutnya beliau sendiri telah menulis beberapa surat namun belum ada sebarang jawapan daripada KOM berhubung isu itu.

"Saya berharap jawatankuasa itu akan dapat memberi kepastian apakah punca sebenar, dan sekiranya melibatkan kesalahan atlet, KOM hendaklah bertindak terhadap atlet tetapi sekiranya ia adalah kesalahan persatuan, mungkin Pesuruhjaya Sukan akan mengambil tindakan terhadap persatuan yang berkenaan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan