Taipei, Surabaya, Dubai & Abu Dhabi Calon Utama Anjur Sukan Asia 2019

Diterbitkan: Jumaat, 17 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Taipei, Surabaya serta gandingan Dubai dan Abu Dhabi kini menjadi calon pendahulu untuk menganjurkan Sukan Asia 2019.

Menurut laman web Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ketiga-tiga jawatankuasa Olimpik Taiwan, Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah mengemukakan hasrat itu.

Tuan rumah bagi temasya sukan terbesar di benua Asia itu akan dipilih pada Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Asia (OCA) di Macau pada 3 November.

Pengerusi Jawatankuasa Media OCA, Charles Lo berkata peluang kesemua bandar raya terbabit untuk dipilih adalah terbuka luas tetapi pemantauan akan dibuat sebelum pemilihan ketika perhimpunan di Macau.

Bandar raya Incheon di Korea Selatan akan menjadi tuan rumah Sukan Asia 2014.

Selain pencalonan untuk Sukan Asia, Jawatankuasa Media OCA turut menerima pencalonan dari Doha (Qatar) dan Tokyo (Jepun), yang merupakan dua calon dari Asia, untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2020.

Selepas Sukan Olimpik 2012 di London Julai ini, Rio de Janeiro di Brazil akan menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar dunia itu pada 2016.

Selain itu, Manila dipilih sebagai venue bagi sambutan perayaan 100 tahun Sukan Asia memandangkan ibu negara Filipina itu menjadi hos pertama temasya sukan itu yang dulunya dikenali sebagai "Oriental Games". -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan