LTdL 2012: Serpa Kembali Ke Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 13 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Serpa satu-satunya pelumba yang memenangi tiga kali perlumbaan peringkat di Genting Highlands sebelum ini.
Serpa satu-satunya pelumba yang memenangi tiga kali perlumbaan peringkat di Genting Highlands sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Disebabkan pembatalan dua perlumbaan di Itali, Tour of Sardegna dan Tour of Friuli, pelumba kelahiran Colombia, Jose Serpa mengubah program perlumbaannya dan akan kembali ke Malaysia untuk mengambil bahagian dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) dari 24 Februari hingga 4 Mac ini.

“Serpa pada awalnya dijadualkan mengambil bahagian dalam dua perlumbaan di Itali ini selepas mendapat keputusan baik tahun lalu di mana dia menduduki tempat kedua dalam Tour of Sardegna dan memenangi Tour of Friulio.

“Malah, penganjur dua perlumbaan ini sebenarnya memberi ruang kepada saya kerana ia membolehkan saya menyenaraikan Serpa untuk ke Malaysia sekali lagi.

"Pastinya saya gembira untuk menambah Jose dalam barisan pelumba kami di jelajah yang cukup dekat di hati saya ini,” kata pengurus pasukan Androni Giocattoli, Gianni Savio.

LTdL juga cukup istimewa kepada Serpa, kerana ia adalah jelajah pertama disertainya sebaik bergelar profesional pada saat-saat akhir dan membuat penerbangan jauh dari Amerika Selatan ke Asia pada 2006.

Dia memenangi laluan landai dari Kuala Selangor dan pendakian sukar ke Genting Highlands secara berturut-turut.

Untuk empat tahun berturut-turut, Serpa memenangi sekurang-kurangnya satu peringkat LTdL hinggalah dia meraih kejayaan individu keseluruhan pada penampilan terakhirnya pada 2009.

Malah dia adalah satu-satunya pelumba yang memenangi tiga kali di Genting Highlands dan dianggap tidak mampu dikalahkan kerana peringkat terkenal itu tidak dipertandingkan pada 2008.

Penyertaan Serpa musim ini menjadikan jumlah bekas juara kepada enam pelumba yang akan bermula di Putrajaya, pusat pentadbiran Kerajaan Malaysia. Tom Danielson (2003) yang berkayuh untuk pasukan Garmin-Barracuda, Freddy Gonzalez (2004) kini bersama Azad University, pelumba Europcar Anthony Charteau (2007) juga akan cuba menyamai pencapaian yang dipegang Paolo Lanfranchi yang menjadi satu-satunya pelumba yang menjuarai LTdL dua kali (1999, 2001) setakat ini.

Tetapi peluang kini semakin cerah buat pasukan Androni Giocattoli yang menurunkan tiga bekas juara dalam satu pasukan: Serpa (2009) dan dua pelumba Venezuela, Jose Rujano (2010) dan Yonatta Monsalve (2011).

“Menyenaraikan pelumba yang dianggap mempunyai banyak kelebihan bermakna itu akan membuatkan kami sebagai pasukan yang sentiasa diawasi.

"Seperti kebiasaannya, kami akan memberikan yang terbaik sebagai tanda penghormatan kepada jelajah ini tetapi kami juga akan lebih berwaspada dengan apa yang akan dilakukan oleh pencabar kami di laluan landai. Secara taktiknya, ia tidak akan mudah,” tambah Savio.

Perlumbaan 10 hari itu akan bermula dengan acara Ujian Masa Individu sejauh 20.3 kilometer di Putrajaya; diikuti Peringkat 2 Putrajaya - Melaka (151.0km); Peringkat 3 Ayer Keroh - Parit Sulong (187.6km); Batu Pahat - Muar (169.4km); Ayer Keroh - Pandan Indah (190km); Proton Shah Alam - Genting Highlands (108km); Bentong - Kuantan (205.8km); Pekan - Chukai (100.8km); Kemasik - Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir - Kuala Terengganu (114.8km).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan