Shahmil Kecewa Gagal Lakukan Angkatan Emas

Diterbitkan: Rabu, 8 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet muda powerlifting negara Mohd Shahmil Mohd Saad kecewa apabila gagal meraih emas pertama negara pada hari terakhir Kejohanan Powerlifting Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Rabu.

Mohd Shahmil, yang menjadi harapan untuk mengutip pingat emas negara menerusi kategori lelaki 100kg, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas melakukan angkatan beban 187 kg.

Pingat emas bagi acara itu menjadi milik peserta Iran Ali Sadeghzadeh Salamani dengan angkatan 236 kg manakala gangsa pula milik Robert Yrigoren dari Venezuela dengan angkatan 182 kg.

Mohd Shahmil, 26, berkata walaupun kecewa gagal menyumbang pingat emas pertama negara, beliau tetap berpuas hati dengan angkatan yang dilakukannya hari ini yang menyamai dengan angkatan emasnya pada temasya Sukan Para Asean, Solo, Indonesia 2011.

"Saya akan berusaha dengan lebih keras lagi untuk melakukan angkatan beban melebihi 200kg pada masa akan datang sebagai persiapan menghadapi saingan lebih hebat pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014," katanya kepada Bernama, Rabu.

Anak kelahiran Kuantan itu berkata beliau yakin mampu melakukan angkatan yang lebih baik pada kejohanan berikutnya.

Sementara itu, jurulatih skuad powerlifting negara Zulkarnain Ibrahim berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan skuadnya yang telah menunjukkan kesungguhan ketika beraksi.

"Kejayaan mengumpul tiga pingat perak dan dua gangsa adalah pencapaian yang baik dan boleh dibanggakan kerana bukan mudah untuk memperolehi pingat pada kejohanan bertaraf dunia," katanya.

Sebelum ini, dua pingat perak negara disumbangkan oleh Siew Lee Chang (kategori wanita 56kg) dan Sharifah Raudah Syed Akil (kategori wanita 75kg) manakala pingat gangsa pula dimenangi P.Mariappan (kategori lelaki 75kg) dan Fatimah Wagimin (kategori wanita 67.5kg). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan