KOM Syor Noraseela, Roslinda Dihantar Berlatih Di Luar Negara

Diterbitkan: Sabtu, 4 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mengesyorkan supaya atlet wanita Noraseela Mohd Khalid dan Roslinda Samsu dihantar ke luar negara bagi menjalani latihan bagi mencerahkan peluang mereka menempah tiket ke Sukan Olimpik London, Julai ini.

Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Noraseela, pelari 400m lari berpagar, dicadangkan berlatih di Afrika Selatan manakala Roslinda, ratu lompat galah negara, ke Jerman.

Katanya, KOM telah mengenalpasti semua pertandingan sebelum mereka dapat memulakan latihan di luar negara.

Selain itu, KOM juga mengesyorkan semua atlet olahraga yang merangkul pingat pada Sukan SEA 2011 Indonesia, November lepas, diberi peluang mengikuti latihan di luar negara bagi menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis KOM di sini pada Jumaat, Shahidan berkata, semua syor itu akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja antara KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 13 Februari ini.

"Saya harap MSM dapat mempertimbangkan cadangan tersebut serta menanggung perbelanjaan memandangkan kami tidak mempunyai penaja tetap," jelasnya.

Sebelum ini, hanya atlet lompat tinggi negara Lee Hup Wei yang mendapat lampu hijau daripada MSN untuk menjalani latihan di Jerman dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik nanti.

Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, beliau telah mengenalpasti nama beberapa calon sesuai bagi menggantikan Harun Rasheed yang meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih olahraga kebangsaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama calon-calon berkenaan.

Harun yang memegang jawatan tersebut sejak 2009 mengambil tindakan sedemikian setelah dikatakan tidak berpuashati dengan pencapaian skuad olahraga kebangsaan pada Sukan SEA di Indonesia tahun lepas.

Shahidan berkata, Harun bukan sahaja meletakkan jawatan tetapi turut dikenakan penggantungan oleh KOM kerana dikatakan bersubahat bersama enam atlet lain melarikan diri daripada menjalani ujian anti-doping di Institut Sukan Negara (ISN) tahun lepas.

"Semua penggantungan yang kita kenakan (termasuk ke atas Harun) bermula daripada tarikh siasatan. Jawatankuasa siasatan itu dipengerusikan oleh naib presiden Datuk R. Annamalai," katanya.

Enam atlet tersebut ialah bekas kuartet 4x100 meter negara, Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohammad, Yee Ye Ling, Nurul Sarah Abdul Kadir serta Norjannah Hafiszah Jamaludin dan atlet pecut 100m lelaki, Mohammad Noor Imran Abdul Hadi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan