PABM Hantar Surat Rayuan Penggantungan Raihan Dalam Masa Terdekat

Diterbitkan: Khamis, 2 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan memohon kepada Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) supaya meringankan hukuman penggantungan empat tahun ke atas altet wanita negara, Raihan Yusoff, atas kesalahan mengambil bahan larangan.

Presiden PABM Zafarul Akbar Kassim berkata mereka berharap badan dunia itu dapat mengurangkan hukuman itu kepada dua tahun sahaja memandangkan atlet berusia 24 tahun itu merupakan antara atlet harapan negara dalam sukan itu.

Pemenang pingat gangsa dalam acara 53kg Sukan Komanwel New Delhi 2010 India itu dikenakan penggantungan empat tahun dan didenda sejumlah US$5,000 (RM15,100) oleh IWF setelah gagal dalam ujian anti-doping ketika menyertai Kejohanan Dunia Kelayakan Olimpik di Paris, November lalu.

"Raihan mempunyai rekod bersih dengan persatuan. Saya bimbang sekiranya dikenakan hukuman yang begitu lama, ia mungkin mengurangkan minatnya dalam angkat berat pada masa depan," katanya.

Zafarul berkata pihaknya turut membincangkan kes berkenaan dalam mesyuarat yang diadakan dua hari lepas bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Beliau turut mengakui penggantungan Raihan sedikit sebanyak menjejaskan persiapan skuad wanita negara menghadapi beberapa kejohanan penting tahun ini terutamanya Kejohanan Elit Asia di Korea pada April yang menjadi medan terakhir atlet Asia melayakkan diri ke Olimpik London 2012, Julai ini.

"Bagaimanapun, kita sedang mengambil inisiatif dengan menyerap beberapa atlet pelapis kebangsaan yang berpotensi bagi memantapkan skuad sedia ada dalam menghadapi kejohanan lain sepanjang tahun ini," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan