Pesaka Sasar Untuk Pertahan Kejuaraan Terbuka Belgium

Diterbitkan: Ahad, 22 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka)menyasarkan skuad kebangsaan untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada Kejohanan Silat Terbuka Belgium ke-24 dari 1 hingga 8 Mei depan.

Penyelaras Pesaka Osman Nok berkata skuad kebangsaan yang merupakan juara bertahan perlu mempertahankan kejuaraan bagi memastikan mereka bersedia menghadapi beberapa kejohanan pencak silat tahun ini.

"Kita menang tahun lepas dengan tujuh emas, jadi kita berharap dengan gabungan pesilat baru dan lama, kita dapat mengekalkan kejuaraan keseluruhan pada kejohanan itu kerana banyak kejohanan silat akan diadakan tahun ini," katanya.

Osman, yang juga Setiausaha Pesaka Pahang, berkata badan induk silat kebangsaan itu meletakkan harapan kepada gabungan pesilat lama dan baru untuk memastikan skuad kebangsaan dapat mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada kejohanan tahunan itu.

"Kita akan menghantar beberapa pesilat terbaik kita seperti Mohd Al Jufferi Jamari, Mohd Fauzi Khalid dan pesilat senior, Ahmad Shahril Zailudin dalam kategori silat putera selain Siti Rahman Mohamed Nasir dalam silat puteri," katanya.

Mengenai persediaan skuad kebangsaan untuk kejohanan itu, Osman berkata 16 atlet termasuk empat pesilat wanita akan memulakan program latihan berfasa pada Mac ini di dalam dan luar negara termasuk di Myanmar.

"Latihan pusat berfasa ini bermakna mereka akan menjalani latihan berterusan selama tiga minggu bermula Mac ini sebelum berehat pada minggu keempat dan menyambung semula latihan pada minggu kelima," katanya.

Beliau berkata 18 pesilat itu kemudian akan menyertai latihan pusat yang akan diadakan di Kuantan, Pahang dari 25 Mei sehingga 10 Jun depan sekembalinya mereka daripada kejohanan di Belgium itu.

"Latihan pusat berkenaan diadakan sebagai persediaan untuk menghadapi Kejohanan Silat Jemputan Antarabangsa merebut Piala Perdana Menteri yang akan diadakan buat kali pertama di Terengganu pada akhir Jun depan," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan