Skuad Berbasikal WP Beri Tumpuan Acara Lebuh Raya Di Sukma Pahang

Diterbitkan: Sabtu, 21 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal Wilayah Persekutuan (WP) akan memberikan tumpuan khusus kepada acara lebuh raya untuk meraih lebih banyak kutipan pingat pada edisi ke-15 Sukan Malaysia (SUKMA) di Pahang dari 5-14 Julai depan.

Pengurus pasukan berbasikal Sukma WP, Musairi Musa berkata skuad tersebut yang rata-ratanya dibarisi oleh pelajar sekolah berusia 13-18 tahun itu dilihat berpotensi untuk meraih pingat dalam acara tersebut.

"Bagaimanapun kita tetap memberikan fokus seimbang pada acara berbasikal yang lain seperti pecut dan kejar-mengejar bagi memastikan kita tidak keciciran sebarang pingat yang ditawarkan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Ditanya mengenai sasaran kutipan pingat untuk Sukma, bekas pelumba basikal kebangsaan berusia 39 tahun itu berkata perkara tersebut masih terlalu awal untuk diputuskan memandangkan skuad tersebut baru sahaja dilatih sejak Okt lepas.

"Rata-rata pelumba kita merupakan muka baru yang baru dibentuk, jadi kita tidak mahu meletakkan sasaran awal kepada mereka untuk meraih kutipan pingat," katanya.

Mengulas mengenai persediaan skuad tersebut untuk menghadapi kejohanan sukan tahunan tersebut, Musairi berkata mereka kini giat menjalani latihan di bawah kendalian Datuk Ng Joo Ngan yang juga bekas jurulatih berbasikal kebangsaan.

"Mereka telah menjalani latihan sejak Okt lepas di bawah Ng Joo Ngan di sekitar ibu negara, Awana Genting Highlands, Hulu Langat dan sekitar negeri Selangor," katanya.

Musairi berkata selain mengadakan latihan pusat, beliau turut membawa skuad tersebut untuk menyertai beberapa pertandingan tempatan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri bagi memantapkan persiapan skuad tersebut menghadapi Sukma.

Beliau turut berkata senarai penuh skuad berbasikal WP hanya akan diumumkan oleh Joo Ngan selewat-lewatnya Jun depan.

"Kita masih belum menentukan pelumba berkenaan sesuai diletakkan dalam kategori mana, jadi kita akan serahkan kepada Joo Ngan untuk membuat keputusan muktamad," katanya.-BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan