Shaifubahri Kuasai Pusingan Ketiga Siri Jelajah PGM

Diterbitkan: Sabtu, 14 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain berpengalaman Shaifubari Muda menguasai kedudukan teratas saingan pusingan ketiga Kejohanan Golf PGM Sime Darby Harvard Classic di Kelab Golf & Country Harvard di Gurun, Kedah, Jumaat.

Pemain veteran itu melakukan dua bawah par 70 hari ini bagi mengumpul sejumlah 12 bawah par 204 pukulan untuk muncul pendahulu dengan kelebihan tiga pukulan dari pencabar terdekat S. Murthy.

"Harap-harap rentak permainan saya dapat dikekalkan. Esok saya akan bermain secara menyerang," demikian kata Shaifubari, 39, menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Professional Golf of Malaysia (PGM) di sini.

Kejohanan bernilai RM125,000 itu merupakan tirai pembukaan siri Jelajah PGM musim 2012. Bagaimanapun, Azman Basharuddin, yang baru menjadi pemain profesional, mencuri tumpuan pada pusingan ketiga apabila melakukan catatan terendah dengan enam bawah par 66.

Walaupun bermain dalam cuaca hujan, Azman masih berjaya membuat enam pukulan birdie tanpa sebarang bogey.

Dengan pukulan yang memberangsangkan itu, Azman, yang berasal dari Kulim, Kedah, berada di tempat keempat dengan 209 pukulan, iaitu ketinggalan lima pukulan di belakang pendahulu.

Manakala Murthy, yang menjuarai PGM Lanjut Classic, juga membuat dua bawah par 70 untuk menduduki tangga kedua dengan 207 pukulan sebelum memasuki pusingan penentuan esok.

Keputusan Utama Pusingan Ketiga - 204 - Shaifubari Muda 68-66-70; 207 - S. Murthy 68-69-70; 209 - Azman Basharuddin 71-72-66; 210 - Danny Chia 69-70-71, S. Sivachandhran 74-67-69, Haziq Hamizan 70-69-71, P. Gunasagaran 71-68-71; 211 - Nicholas Pua 70-69-72; 212 - Md Rashid Ismail 70-73-69, Wilson Choo 67-72-73; 213 - R. Nachimuthu 72-70-71; 215 - Khor Kheng Hwai 68-75-72, Shaaban Hussin 71-70-74, Airil Rizman 71-70-74, Solhairy Sharif 70-71-74. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan