Tiga Pasukan Perahu Layar Negara Turut Sertai RLIR

Diterbitkan: Selasa, 10 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Tiga pasukan perahu layar negara adalah antara 36 pasukan dari 12 negara yang mengesahkan penyertaan untuk bertanding pada Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) ke-10 yang bermula Selasa hingga Ahad ini.

Pengarah Eksekutif RLIR, Wicky Sundram berkata Malaysia akan diwakili pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Tentera Malaysia dan pemilik individu Vincent dalam semua kategori kelas. Terdapat tujuh kategori yang dipertandingkan iaitu IRC Racing, IRC 1, IRC 2, Sports, Multihull, Club dan Ocean Rovers.

Beliau berkata dalam kelas IRC Racing, skiper TLDM Mohamad Razali Mansor adalah antara peserta terbaik berikutan persembahan baiknya pada Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor November lalu.

Sundram memberitahu Bernama juara bertahan enam kali dari Australia, skiper Ray Roberts tidak akan bertanding kali ini kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarganya.

Antara peserta pilihan untuk memenangi kejohanan tahun ini ialah Neil Pryde dari New Zealand dan Frank Pong dari Hong Kong serta pasukan baru Hooligon dari Australia.

Antara negara peserta ialah England, Norway, Denmark, Australia, New Zealand, Hong Kong, Jepun dan Singapura. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan