Polis Tahan 26 Penyokong Pasukan Atas Pelbagai Kesalahan

Diterbitkan: Ahad, 8 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 26 penyokong lelaki dari pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk membawa barang larangan seperti mercun dan bunga api ke pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata polis, yang mengadakan kawalan sejak pukul 2 petang hingga separuh masa perlawanan, merampas 56 suar, satu bom asap, lima bunga api, satu pisau lipat dan sepaket ganja.

"Kita menahan kedua-dua kumpulan penyokong yang mula masuk ke dalam stadium sekitar pukul 6 petang hingga 9.30 malam. Mereka berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara Kelantan dan Negeri Sembilan di sini.

Bagi mengaburi polis, Mohan Singh berkata daripada jumlah itu, 22 lelaki yang ditahan membawa barangan larangan 'flare' dalam kain rentang ke pekarangan stadium.

"Kita nampak mereka dalam keadaan mencurigakan apabila seramai 22 orang membawa banner (kain rentang) itu lalu kita melakukan pemeriksaan ke atas barangan itu," katanya.

Beliau berkata ganja yang dirampas turut ditemui dalam kain rentang itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan