Kes Josiah Ng Jadi Rujukan Selesai Kemelut Siti Fatimah

Diterbitkan: Rabu, 4 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kes terdahulu yang melibatkan pelumba basikal Josiah Ng akan digunakan sebagai rujukan untuk menyelesaikan kemelut pelari pecut kebangsaan Siti Fatimah Mohamad yang berhasrat menyertai acara trek berbasikal.

Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) Abu Samah Abd Wahab berkata seperti mana Josiah, Siti Fatimah mesti buktikan beliau berbakat besar dalam acara kayuhan sebelum boleh sertai atau disenarai dalam skuad trek kebangsaan.

"Jika berbakat besar dia boleh berlatih di Melbourne jika perlu," katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.

Bulan lepas, pelari pecut berusia 25 tahun itu, yang menyertai acara 100, 200 dan lari berganti 4x100 meter, menggemparkan arena sukan tempatan apabila mengumumkan untuk tidak meneruskan karier dalam sukan olahraga, sebaliknya mahu berubah haluan ke acara berbasikal.

"Siti Fatimah harus menyamai atau melepasi masa Fatehah Mustafa (pemenang tiga pingat emas di Sukan Sea Indonesia). Setakat ini saya tidak tahu apa acara Siti Fatimah. Bagaimanapun saya ingin tegaskan bahawa acara larian dan kayuhan adalah dua perkara yang sangat berbeza," kata Abu Samah.

Mengulas kes Ng sebelum ini, Abu Samah berkata pada 2001, Ng, pelumba baru yang berpangkalan di Amerika Syarikat, memohon kepada Majlis Sukan Negara (MSN) supaya namanya disenarai dalam skuad trek berbasikal Malaysia.

"Waktu itu, kami tak tahu asal usul Josiah. Khabarnya beliau dilahirkan di Filipina dan bapanya orang Sarawak.

"Bagaimanapun kami tidak resah dengan latar belakang Josiah. Kami hanya mahu jaga hati semua pihak khususnya Rosman Alwi yang pernah jadi juara Asia acara 200 meter pecut individu," kata Abu Samah.

Hasil perbincangan dengan ramai pihak, MNCF akhirnya memutuskan untuk mengatur satu ujian dan Ng mesti menyamai atau melepasi masa Rosman untuk layak menyertai pasukan kebangsaan, katanya.

Mengenai nasib Siti Fatimah, Abu Samah berkata keputusan akhir akan ditentukan dalam satu mesyuarat bersama MSN pada 17 Jan ini dan beliau berharap Siti Fatimah akan turut menyelesaikan semua urusan termasuk mendapatkan restu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan