Pembedahan Tidak Halang Anuar Manan Jalani Latihan

Diterbitkan: Rabu, 28 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pembedahan di bahagian tangan dan peha yang baru sahaja dijalani Anuar Manan tidak menghalang pelumba basikal lebuh raya negara itu untuk menjalani latihan sebagai persiapan untuk beraksi bersama pasukan divisyen dua HK Champion System, Hong Kong.

Anuar yang menjalani pembedahan Ahad lalu bagi membuang ketumbuhan yang boleh mengganggu kayuhannya berkata, buat sementara waktu, beliau akan berehat selama dua minggu dan hanya akan menjalani latihan ringan.

"Saya dinasihatkan supaya berehat selama dua minggu agar bahagian yang dibedah tidak terkoyak semula...biarpun baru selesai menjalani pembedahan saya tetap membuat latihan yang ringan bagi mengekalkan stamina," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Bercerita mengenai perkembangannya bersama pasukan baru, Anuar berkata, pada 7 Jan depan dia akan ke Hong Kong bersama rakan sepasukan sebelum bergerak ke Hainan untuk menjalani kem latihan di sana.

Anak kelahiran Kuala Ibai ini mengakui dirinya sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi dengan pasukan divisyen dua, HK Champion System mulai tahun depan.

Menurut pelumba berumur 25 tahun itu, khidmatnya dengan pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) masih berbaki beberapa hari lagi dan beliau sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk bersama pasukan baru nanti.

"Ini bukan kali pertama kerana sebelum ini saya pernah berlumba untuk pasukan Iran dan Korea, sedikit sebanyak pengalaman yang ada akan membantu saya apabila bersama pasukan baru nanti".

Meskipun agak berat baginya untuk meninggalkan pasukan TSG yang telah banyak melonjakkan kerjayanya, namun demi masa depannya yang masih panjang segala kesedihan itu terpaksa dilupakan.

"Setiap pelumba basikal memiliki sasaran yang sama iaitu ingin bergelar pelumba divisyen satu, sekaligus melayakkan diri untuk beraksi dalam perlumbaan paling berprestij di dunia iaitu Le Tour De France, begitu juga dengan saya," katanya.

Katanya, peluang beraksi dengan pasukan baru yang berstatus divisyen dua itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan lagi pencapaian dirinya dalam perlumbaan basikal dengan harapan mampu membawa nama negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan