Kejohanan GP Akhir: 14 Pelumba Basikal Terengganu Kayuh Ke Muar

Diterbitkan: Rabu, 28 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Seramai 14 pelumba basikal Terengganu pada Rabu berkayuh ke Muar, Johor, untuk menyertai Kejohanan Grand Prix Akhir yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Jurulatih Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata mereka terdiri pelumba elit Sukma, junior dan pelumba wanita.

"Kita buat pendekatan sebegini supaya pelumba-pelumba tidak merasa letih sekiranya mereka pergi dengan kenderaan," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Pelumba-pelumba itu berkayuh sejauh kira-kira 1,000 kilometer pergi dan balik iaitu dari Kuala Terengganu-Kuantan, Kuantan-Segamat dan Segamat-Muar manakala perjalanan balik pula dari Muar-Mersing, Mersing-Pekan, Pekan-Kuantan, Kuantan-Kemaman, Kemaman-Kuala Terengganu, mengikut laluan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Syed Mohd Hussaini berkata turut serta dalam rombongan itu ialah pelumba-pelumba kebangsaan yang sedang membuat persiapan di sini bagi menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan LTdL.

Beliau berkata latihan seumpama itu memberi satu kelebihan kepada pelumba-pelumba yang bakal mewakili Terengganu pada Sukma nanti.

Katanya Terengganu tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada kejohanan itu yang lebih bersifat untuk memberi pendedahan kepada pelumba. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan