Siew Tepati Ramalan Sumbang Emas Acara Powerlifting

Diterbitkan: Ahad, 18 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SOLO: Atlet elit powerlifting negara, Siew Lee Chan berjaya menyumbang pingat emas pertama untuk skuad powerlifting negara setelah melakukan angkatan beban 90 kg bagi kategori berat badan 56kg dan 60kg wanita pada hari ketiga Temasya Sukan Para Asean 2011 yang berlangsung di Gedung Wanita.

Pingat perak bagi acara tersebut menjadi milik peserta Indonesia, Rahayu Iwan Musa dengan angkatan 80kg iaitu lapan kg di hadapan pemenang pingat gangsa, Habbebah Sahatang dari Thailand.

Siew, 40 tahun berkata beliau rasa gembira dengan kejayaan itu namun terkilan kerana gagal untuk mengatasi angkatan peribadi 100kg yang dilakukannya ketika sesi latihan di Malaysia sebelum ini.

"Walaupun masih mengalami rasa sakit akibat kecederaan pada bahagian bahu kiri, saya tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membuat angkatan terbaik tadi," katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata tumpuannya selepas ini membuat persiapan bagi menghadapi Temasya Paralimpik London pada 2012 nanti.

"Saya meletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang pingat tanpa mengira warna di London nanti kerana menjadi harapan dan cita-cita saya sejak dahulu lagi untuk meraih pingat di kejohanan itu," kata pemenang pingat gangsa Temasya Paralimpik Beijing, China 2008 itu.

Beliau menasihati atlet pelapis powerlifting yang masih baru dalam arena sukan paralimpik jadikan formula 'kerja keras' sebagai pendorong kepada usaha mengejar kejayaan dalam sukan mahupun dalam hidup seharian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan