Muhd Arfy Raih Emas Pertama Negara

Diterbitkan: Ahad, 18 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek, Muhd Arfy Qhairant Amran mengumpul semula semangat selepas hanya meraih gangsa semalam untuk menyumbang pingat emas pertama negara di Kejohanan Trek Piala Asia ACC 2011 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras di sini, malam tadi.

Muhd Arfy Qhairant, 18, meraih pingat emas dalam acara pecut remaja lelaki dengan mencatat masa 11.436 saat pada pusingan pertama dan 11.443s pada pusingan kedua.

Pingat perak dimenangi oleh pelumba Hong Kong, Wu Lok Chun dan pingat gangsa menjadi milik, Aboulfazi Zarezadehmehrizi dari Iran.

"Selepas berehat semalam, saya mula mengumpul semangat untuk melakukan yang terbaik pada acara ini dan saya berpuas hati dengan pencapaian ini.

"Saingan acara pecut ini agak sengit juga. Dari segi catatan masa pula saya puas hati juga sebab saya baru hendak mula meningkatkan prestasi saya selepas prestasi merudum pada kejohanan dunia lepas," katanya.

Sementara itu, Lauretta Eva Adrian yang bersaing dalam kategori wanita kempunan untuk meraih pingat gangsa selepas kalah kepada pelumba Thailand, Apinya Promboot dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa.

Pingat emas acara itu dimenangi oleh Leung Bo Yee dari Hong Kong dan pingat perak, Reihaneh Talebisomeehsaraei dari Iran.

Dalam acara 16km perlumbaan mata remaja lelaki, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri meraih pingat perak selepas mengumpul 22 mata, di belakang Leung Chun Wing dari Hong Kong dengan 66 mata untuk pingat emas.

Pingat gangsa acara itu dimenangi Ruslan Feddrov dari Uzbekistan dengan 15 mata.

Malaysia turut meraih pingat gangsa dalam acara 3km kejar-mengejar individu remaja lelaki melalui Hamdan Hamidun dengan catatan masa 3:48.194s dan pingat emas dan perak acara itu dimenangi Leung Chun Wing dari Hong Kong dan Ruslan Feddrov dari Uzbekistan, masing-masing dengan masa 3:40.182 dan 3:42.490s. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan