Zul Amirul Dijangka Hadapi Laluan Mudah Ke Peringkat Akhir

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SOLO: Perenang paralimpik elit negara Zul Amirul Sidi dijangka mendapat laluan mudah untuk mempertahankan pingat emas bagi acara kuak lentang kategori S5 individu lelaki di Temasya Sukan Para Asean keenam Solo, Indonesia 2011.

Zul Amirul, 39, berkata walaupun demikian beliau berasa sedih kerana telah kehilangan satu pingat emas sebelum turun ke kolam renang apabila acara 100m kuak lentang yang merupakan acara kegemarannya tidak dipertandingkan pada kali ini.

"Di atas kertas pingat emas pasti berada dalam tangan namun saya akan tetap lakukan persembahan yang terbaik dan tidak memandang rendah keupayaan perenang paralimpik dari negara lain terutamanya Thailand," katanya ketika ditemui Bernama di perkampungan atlet yang terletak di Kompleks Asrama Haji Donohudan dekat sini Khamis. Perenang paralimpik kelahiran Miri, Sarawak itu berkata penyertaan kali ini dikira sebagai kejohanan pemanas badan bagi dirinya sebelum bersedia untuk menghadapi cabaran Temasya Paralimpik London pada tahun depan.

"Telah menjadi impian saya untuk meraih sebutir pingat tanpa mengira warna di Sukan Paralimpik London 2012 nanti sebelum berfikir untuk bersara dalam bidang ini namun saya masih belum membuat keputusaan mengenai perkara itu," katanya.

Zul Amirul, yang kini menduduki ranking keempat terbaik dunia, berazam untuk bekerja keras daripada sekarang bagi mencapai impian tersebut.

Kontinjen negara meletak sasaran lapan pingat emas kepada skuad paralimpik renang negara dan saingan awal bagi acara renang akan berlangsung di Tirtomoyo Mananah, Jumaat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan