Piala Monsun Wajar Diteruskan Di Terengganu - Tun Abdullah

Diterbitkan: Ahad, 27 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata kejohanan kapal layar Piala Monsun wajar diteruskan di Terengganu kerana negeri itu mempunyai kemudahan lengkap untuk penganjuran perlumbaan itu.

Selain itu, acara terakhir dalam siri Jelajah Dunia (WMRT) yang memasuki siri ketujuh itu bukan sahaja mendapat sambutan daripada peminat tempatan malah antarabangsa.

"Acara ini juga mendapat liputan di lebih 120 negara di seluruh dunia. Ia terbukti menguntungkan Terengganu dan telah banyak mempromosi negeri dan negara terutama dalam sektor pelancongan.

"Saya sokong ia terus diadakan di Terengganu kerana jika kita tidak anjurkan, orang lain yang akan untung," katanya kepada pemberita selepas melawat bilik media di Ri-Yaz Marina Heritage, Pulau Duyong, di sini.

Turut hadir Naib Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Abdullah berkata bukan sesuatu yang mudah untuk Terengganu mendapat peluang menganjurkan kejuaraan sukan bertaraf antarabangsa di mana juara dunia akan ditentukan di sini.

Kejohanan yang mula diperkenalkan pada tahun 2005 itu bakal menamatkan kontrak tahun hadapan.

Untuk edisi ketujuh Piala Monsun kali ini, sebanyak 12 pasukan dari lapan negara berentap pada kejohanan akhir siri jelajah WMRT itu.

Malaysia diwakili Jeremy Koo dari pasukan Abdullah Chan/KRT, yang sebelum ini mengekalkan kejuaraan Match Racing Malaysia (MMRC) 2011.

Kejohanan kali ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah kira-kira RM1.39 juta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan