Anuar Manan Sertai Pasukan Champion System Tahun Depan

Diterbitkan: Ahad, 27 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pasukan lumba basikal profesional Terengganu Terengganu Cycling Team (TCT) akan kehilangan pelumba sensasi Anuar Manan musim 2012 ini.

Pengurus pasukan Ahmad Kamarul Idrus berkata pelumba yang berasal dari Kampung Kuala Ibai itu akan menyertai pasukan divisyen dua Champion System yang di Hong Kong, melayakkan beliau menyertai perlumbaan di Eropah.

Beliau berkata Anuar akan meninggalkan TCT atau pasukan divisyen tiga untuk mengembangkan bakat dan juga mengharumkan nama negeri dan negara dalam sukan berbasikal.

TCT mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Anuar kerana banyak membantu menaikkan nama Terengganu di peringkat Asia semasa bersama-sama pasukan itu.

Bagaimanapun, katanya kehilangan Anuar tidak banyak menjejaskan pasukan TCT yang akan menghadapi banyak kejohanan yang lebih mencabar pada masa-masa akan datang.

Menurut Ahmad Kamarul TCT masih lagi mempunyai ramai pelumba setaraf dengan Anuar seperti pemenang dua pingat emas di Sukan SEA baru-baru ini, Hariss Salleh.

Beliau berkata TCT tidak merasa kecewa dengan pemergian Anuar sebaliknya berbangga kerana beliaulah satu-satunya anak Terengganu yang akan menyertai perlumbaan di Eropah.

Katanya TCT yang diwujudkan kerajaan negeri, sekarang ini mempunyai sembilan pelumba tempatan dan empat pelumba import masing-masing dua dari Korea Selatan dan Jepun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan