Malaysia Lepasi Sasaran Tapi Prestasi Sukan Elit Hampa

Diterbitkan: Rabu, 23 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Malaysia meraih 59 emas pada temasya Sukan SEA ke-26 yang berakhir di sini semalam dengan melepasi sasaran maksimum 45 emas tetapi beberapa sukan prestasi tinggi gagal menghasilkan kutipan pingat yang disasarkan.

Kontinjen negara meraih 59 emas, 50 perak dan 82 gangsa daripada temasya itu yang diadakan di dua venue utama, di sini dan Palembang sejak 11 November.

Satu-satunya pingat emas daripada acara bola sepak lelaki, yang dianggap sebagai 'ibu segala pingat' turut dipertahankan oleh skuad kendalian Ong Kim Swee selepas menundukkan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Acara akuatik terus menjadi lubuk emas Malaysia dengan meraih 19 pingat emas menerusi terjun (tujuh emas), renang (lima), renang berirama (lima) dan renang laut terbuka (dua).

Olahraga menyumbangkan enam emas, diikuti tenpin boling (lima), ski air (empat), karate (empat), wushu (tiga), silat (tiga), berbasikal (tiga), memanah (dua), menembak (dua), lawan pedang (dua)dan biliard & snuker (satu).

Sebagai perbandingan, pada temasya di Vientiane, Laos, dua tahun lepas, renang merupakan penyumbang terbesar pingat emas selepas meraih sembilan emas, diikuti terjun (enam), karate (lima), olahraga (enam), pencak silat (empat), wushu (tiga), tinju (dua), badminton (dua) dan masing-masing sebutir emas bagi bola sepak lelaki, memanah dan taekwondo.

Termasuk empat acara daripada akuatik, jumlah sukan yang menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara pada edisi di Indonesia berjumlah 15 sukan dan sukan yang gagal menghasilkan walau sebutir emas pun kepada Malaysia ialah 19.

Daripada 19 sukan tersebut yang turut merangkumi sukan berprestasi tinggi, dan sukan ekstrem, beberapa jenis sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik dan Sukan Asia jelas tidak bermaya walaupun bersaing di peringkat temasya terendah - Sukan SEA.

Antara sukan tersebut ialah taekwondo, badminton, pelayaran, angkat berat dan tinju.

Antara alasan yang diberikan, hanya menghantar atlet pelapis ke Indonesia kerana atlet senior perlu memberi tumpuan kepada Sukan Olimpik di London tahun hadapan.

Namun berdasarkan pemerhatian di pelbagai venue, kontinjen Indonesia, Thailand dan Vietnam, negara-negara yang berada di tiga tempat teratas kutipan pingat, turut dibarisi majoritinya atlet-atlet muda.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sendiri turut meluahkan rasa kecewa dengan prestasi sukan tertentu seperti taekwondo dan sepak takraw.

Kedua-dua sukan tersebut yang mendapat bantuan sepenuhnya daripada MS Npulang dengan tangan kosong.

Menurut Ahmad Shabery, MSN akan mengadakan bedah siasat untuk mengetahui punca kemerosotan.

Bagi sukan yang tidak kompetitif lagi, MSN mungkin mengeluarkannya daripada program atau meminimumkan peruntukan kepada persatuan, katanya. Kredit perlu diberikan kepada sukan ekstrem yang menampung kutipan emas daripada kegagalan sukan prestasi tinggi yang disasarkan pingat.

Dua acara sukan ekstrem yang baru pertama kali dipertandingkan di edisi Indonesia ini, ski air menyumbang empat emas sementara renang laut terbuka meraih dua emas.

Namun agak sukar bagi MSN untuk menyerap sukan ini ke dalam programnya kerana ketiadaan kayu pengukur untuk menilai perkembangan prestasi sukan tersebut.

Menjadi tradisi Sukan SEA, negara yang menjadi tuan rumah selalunya menjadi juara keseluruhan dan sebelum tahun 2000, negara yang bersaing menjadi juara keseluruhan ialah Thailand dan Indonesia.

Tetapi kini, trend tersebut telah berubah. Walaupun Indonesia menjadi juara keseluruhan, saingan di tangga kedua kini terbuka di antara Thailand dan Vietnam.

Malaysia juga kini menghadapi saingan daripada jiran di seberang tambak, Singapura.

Bagi edisi ke-26 di sini, Malaysia menduduki tangga keempat.

Juara bertahan daripada edisi di Korat (Thailand) pada 2007 dan Vientiane (Laos) pada 2009, Thailand, tersingkir ke tangga kedua selepas Indonesia.

Indonesia yang menganjurkan temasya dua tahun sekali ini buat kali keempat, pada 1979, 1987, 1997 dan tahun ini, secara kebetulan menjadi juara keseluruhan setiap kali menganjurkan temasya ini.

Tuan rumah meraih 182 emas, 151 perak dan 142 gangsa, diikuti Thailand (107, 100, 120) dan Vietnam (96, 90, 100).

Malaysia menduduki tangga keempat diikuti Singapura yang mendapat 42 emas, 45 perak dan 73 gangsa, diikuti Filipina (36, 56, 77), Myanmar (16, 27, 36), Laos (9, 12, 36), Kemboja (4, 11, 24), Timor Leste (1, 1, 6) dan Brunei (0, 4, 7).

Edisi ke-27 Sukan SEA akan diadakan di bandar Naypyidaw, Myanmar pada 2013 dan dijangka akan mempertandingkan 48 sukan, jumlah terbanyak sukan yang ditawarkan sejak temasya ini pertama kali dianjurkan di Bangkok, Thailand pada 1959.

SELAMAT TINGGAL INDONESIA. MIN GA LA BA (Hello) MYANMAR. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Sukan SEA , Palembang , Ong Kim Swee

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan