Sukan Sea: Muhamad hafiz Sumbang Emas Keempat Acara Berbasikal

Diterbitkan: Isnin, 21 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Muhamad Hafiz Mohd Sufian menyumbangkan emas keempat negara daripada acara berbasikal trek Sukan SEA di sini yang berlangsung di Velodrom Rawamangun dekat sini, Isnin.

Pelumba berasal dari Selangor itu memenangi tiga daripada lima disiplin yang dipertandingkan dalam acara Omnium untuk menjadi juara.

Beliau meraih tempat pertama dalam disiplin Flying Lap, Elimination dan Scratch serta tempat ketiga dan keempat masing-masingnya dalam disiplin 4000m kejar mengejar dan mengutip mata (points).

Rakan sepasukan,a Ahmad Fakhrullah Alias, pula membawa pulang pingat gangsa manakala pelumba tuan rumah, Fatahillah Abdullah, mendapat perak.

"Kemenangan ini mungkin rezeki isteri dan bakal anak sulung saya yang dijangka lahir sekitar awal Januari nanti," katanya kepada pemberita selepas tamat pelumbaan itu.

Muhamad Hafiz berkata beliau tidak menjangka penampilan pertamanya dalam acara Omnium di Sukan SEA ini akan meraih kejayaan kerana beliau sebelum ini menyertai berbasikal trek acara sprint, 1km dan keirin.

"Dua kemenangan dalam empat disiplin ini membakar semangat saya untuk menang perlumbaan disiplin terakhir dan juga mahu lagu Negaraku bekumandang di sini," kata pelumba yang mempunyai pengalaman menyertai Sukan Asia 2010 Guangzhou.

Pelumba wanita negara, Ju Pha Som Net terlepas peluang menyumbang pingat gangsa dalam acara scratch setelah dipintas peserta Filipina, Apryl Eppinger, untuk tempat ketiga.

Pingat emas diraih atlet tuan rumah, Uyun Muzizah, manakala pelumba Thailand, Jutatip Maneephan meraih perak.

Seorang lagi peserta negara, Fatehah Mustapha, hanya mampu menduduki tempat keenam.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan