Sukan Sea: Malaysia Tambah Enam Emas Pada Hari Ke-10

Diterbitkan: Isnin, 21 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Malaysia menambah enam pingat emas pada hari ke 10 temasya, menjadikan kutipan keseluruhan 53 emas, 45 perak dan 70 gangsa sebelum Sukan SEA di Indonesia melabuhkan tirainya pada Selasa.

Pingat emas itu diraih dari acara wushu (2), tenpin boling (1) dan berbasikal trek (1) yang dipertandingkan di sini dan renang berirama (2) yang dijalankan di Palembang.

Tuan rumah Indonesia hari ini secara rasmi bergelar Juara Keseluruhan temasya edisi ke-26 selepas mengumpul 150 emas, 125 perak dan 116 gangsa dan jumlah kutipan emas ini tidak mampu digugat oleh juara bertahan dari edisi lepas, Thailand yang berada di tangga kedua.

Keseluruhannya 542 pingat emas ditawarkan di sepanjang temasya ini untuk rebutan 11 kontinjen.

Thailand mengutip 95 emas, 81 perak dan 105 gangsa dan diikuti oleh Vietnam di tangga ke tiga dengan 84 emas, 83 perak dan 89 gangsa.

Malaysia, yang telah pun melepasi sasaran maksimum 45 emas semalam, terus kekal di tangga keempat dengan mengumpul 53 emas, 45 perak dan 70 gangsa, diikuti Singapura (41, 43, 71), Filipina (25, 47, 67), Myanmar (11, 23, 27), Laos (8, 6, 35), Kemboja (3, 11, 20), Timor Leste (1, 1, 4) dan Brunei (0, 2, 7).

Dalam acara Wushu, atlet Malaysia meraih kedua-dua emas bagi acara lelaki dan wanita disiplin gandingan Nan Dao dan Nan Gun.

Kevan Cheah Peng Heng meraih emas acara lelaki dengan memperolehi 9.71 mata dari acara Nan Dao and 9.71 mata dari acara Nan Gun untuk mengumpul keseluruhan 19.41 mata.

Rakan sepasukan, Koo Chee Zhong meraih perak, mengutip 9.70 mata dari Nan Dao dan 9.69 mata dari Nan Gun untuk keseluruhan 19.39 mata. Gangsa dimiliki Wai Phyo Aung dari Myanmar dengan keseluruhan 18.37 mata.

Emas kedua dari wushu disumbangkan oleh Tai Cheau Xuen dari acara Nan Dao dan Nan Gun wanita.

Tai mengutip 9.70 mata dari Nan Dao dan 9.65 mata dari Nan Gun untuk mengumpul keseluruhan 19.35 mata.

Seniornya, Diana Bong sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip keseluruhan 18.97 mata, di belakang pemenang pingat perak, Dessy Indri Astuti dari Indonesia dengan keseluruhan 19.05 mata.

Adrian Ang menutup tirai acara tenpin boling dengan meraih emas kelima buat skuad boling negara.

Beraksi dalam kategori lelaki Masters, Adrian meraih emas dengan 431 jatuhan pin, berbanding pencabarnya Frederick Ong dari Filipina yang melakukan 390 jatuhan dalam pusingan akhir 'stepladder' lelaki.

Rakan sepasukan, Muhd Syafiq Ridhwan pula mendapat gangsa sementara Zandra Aziela Ibrahim Hakimi meraih gangsa dari acara Masters wanita.

Muhamad Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Mohamad Akmal Amin dan Mohd Harif Salleh turut menyumbang satu emas menerusi acara 4,000m kejar mengejar berpasukan dalam acara berbasikal.

Malaysia turut memperolehi satu lagi gangsa dari Ong Shi Chuan menerusi acara Daoshu dan Gunshu lelaki dengan mengutip mata keseluruhan 19.40.

Kontinjen negara turut menambah pingat gangsa, dari acara bola keranjang wanita negara dan Mohamed Ezzat Mohamed Noor yang bertanding dalam acara judo, kategori 81 hingga 90 kilogram.

Menjelang pertemuan akhir acara bolasepak lelaki di antara Malaysia menentang Indonesia, malam esok, Kabinet yang prihatin dengan skuad Bawah 23 Malaysia di sini, meluluskan penyewaan sebuah pesawat khas bagi membawa balik pasukan itu ke tanah air.

Ini disebabkan selepas final pada Isnin, skuad kendalian Ong Kim Swee itu terpaksa berhadapan Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Rabu bagi perlawanan Kelayakan Olimpik pula.

Pada Isnin, hari ke-11 temasya, sehari sebelum berakhirnya Sukan SEA di Indonesia ini, sebanyak 41 pingat emas ditawarkan. Tinju menawarkan lima emas, bola sepak (1), bridge (1), berbasikal (7), renang sirip (5), golf (2), gimnastik (2), tenis (3), lumba bot tradisional (2), angkat berat (3) dan wushu (10). - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan