SUKAN SEA: Tiada Pingat Pada Pembukaan Acara Angkat Berat

Diterbitkan: Jumaat, 18 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PALEMBANG: Atlet angkat berat negara gagal menyumbangkan sebarang pingat apabila gelanggang angkat berat Sukan SEA ke-26 di Kompleks Sukan Jakabaring dibuka malam ini (Jumaat).

Dua atlet negara Zulkifli Che Ros dan Naharudin Mahayudin yang beraksi dalam acara 77kg tidak mampu memberi cabaran apabila masing-masing sekadar menduduki tempat kelima dan kelapan.

Naharudin sekadar mampu mengangkat beban keseluruhan seberat 275kg (134kg dalam snatch dan 156kg dalam clean & jerk) di kedudukan kelima manakala Zulkifli hanya berjaya melakukan angkatan dalam snatch 135kg, dan gagal melakukan angkatan dalam clean & jerk.

Acara itu dimenangi peserta tuan rumah Sandow Waldemar manakala pingat perak dan gangsa milik Thailand menerusi Somphon Kaeokoet dan Ekkachai Yeeram.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Zafarul Akbar Kassim berkata pihaknya tidak meletakkan sasaran dalam acara berkenaan.

"Sasaran kita di Palembang adalah untuk menyamai pencapaian di Laos dua tahun lalu ataupun memperbaikinya," kata Zafarul Akbar.

"Peluang terbaik kita dalam kategori 105kg dan 105kg ke atas esok (hari ini), tapi saya tidak dapat beri jaminan yang kita akan bawa pulang pingat," katanya.

Empat lagi atlet akan membawa cabaran negara esok iaitu Firdaus Abd Razak dan Elisha Louis Tan Kim Ho akan bersaing dalam kategori 105kg, manakala Muhammad Zafril Zulkifli dan Abd Azim Nazmi Abd Rashid dalam kategori lebih 105kg. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan