KOAM Perlu Jelas Kejadian Kuartet 4X400M Lelaki - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Khamis, 17 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) harus memberi penjelasan mengenai kejadian kuartet 4x400 meter lelaki negara yang pulang tanpa menghadiri majlis penyampaian hadiah di Palembang, Indonesia.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mengucapkan tahniah kepada kuartet 4x400m lelaki negara yang membuktikan kebolehan mereka dan memberi kejutan dalam acara olahraga.

"Saya tidak tahu sama ada mereka dianaktirikan ataupun berlaku terlepas pandang di situ, mungkin kerana tidak yakin atau mungkin soal pentadbiran. Walau bagaimanapun, saya berasa sedih.

"Jadi, bagi berprasangka baik kepada KOAM, saya rasa mereka perlu memberi penjelasan kepada orang ramai kenapa ia berlaku dan bagaimana ia tidak akan berlaku pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang II Penggal ke-28 Tahun 2011-2012 di sini, Rabu.

Laporan akhbar bahawa kuartet 4x400m lelaki yang membuat kejutan meraih pingat emas pada Isnin lepas pulang tanpa menaiki podium untuk menerima pingat emas yang dimenangi.

Ahmad Shabery menafikan kejadian itu berpunca daripada kemelut dalaman KOAM.

"Saya rasa ia disebabkan soal kelemahan pentadbiran atau terlepas pandang," katanya.

Ahmad Shabery berkata jadual yang tidak tentu dan jelas kemungkinan menjadi punca perkara itu berlaku.

"Selalunya, selepas berlari, (olahraga) terus mendapat pingat dan tidak perlu tunggu. Itu kebiasaan. Tetapi penganjur kali ini buat (pemberian pingat) pada masa yang lain," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan