Sukan Sea: Karate Dijangka Sumbang Emas Pertama Negara

Diterbitkan: Khamis, 10 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Pingat emas pertama kontinjen Malaysia ke Sukan SEA di Indonesia dijangka diperoleh daripada atlet karate, Jamalliah Jamaludin yang akan bertarung dalam acara kumite bawah 68kg pada hari kedua temasya itu berlangsung, Sabtu ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata walaupun mengikut jadual pertandingan asal, acara kenu menawarkan lima emas, pada hari pertama temasya pada Jumaat, harapan untuk meraih emas daripada acara itu agak tipis.

"Walaupun skuad kenu yakin dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas namun penilaian MSN adalah sebaliknya. Sebab itu kita jangka acara karate yang mampu menyumbangkan emas pertama Malaysia," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata jadual pertandingan yang belum muktamad juga menyebabkan pihaknya sukar membuat jangkaan tepat sama ada emas pertama Malaysia datangnya dari Jakarta atau Palembang.

Indonesia menganjurkan temasya kali ke-26 ini di dua venua yang berjauhan, di Jakarta yang mempertandingkan 22 acara dan Palembang yang menawarkan 21 acara.

"Kalau jadual pertandingan asal kekal, kami jangka Jamalliah akan menjadi penyumbang emas pertama negara dari acara karate yang dilangsungkan di Jakarta," katanya.

Jika Jamalliah meraih emas Sabtu ini, atlet berusia 27 tahun itu bukan sahaja muncul sebagai penyumbang pertama pingat emas kepada kontinjen negara di Indonesia tetapi juga mencipta hatrik selepas mengungguli acara itu di Vientiane, Laos, dua tahun lepas dan sebelum itu di Korat, Thailand pada 2007.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan