MOM Tawar Diri Jadi Hos Mesyuarat Persekutuan Sukan Sea

Diterbitkan: Rabu, 2 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menawarkan diri untuk menganjurkan mesyuarat suku tahun pertama Persekutuan Sukan SEA tahun depan.

Presidennya Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata mesyuarat tersebut penting dalam usaha badan itu menetapkan standard penyertaan atlet dalam sukan-sukan yang dipertandingkan di temasya Sukan SEA.

"Sesetengah negara menghantar atlet terbaik mereka dan sesetengahnya melihat sukan ini sebagai pembangunan dan menghantar skuad pelapis, jadi kita perlu putuskan sama ada sukan ini untuk pembangunan atau kita melihat kepada atlet terbaik," katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada MOM sempena Sukan SEA ke-26 di Indonesia minggu depan.

Mengambil contoh skuasy, beliau berkata dominasi ratu skuasy negara Nicol Ann David dalam sukan itu menyekat peluang atlet muda untuk mencipta nama.

"Tidak wajar menghantar Nicol kerana standard dia terlalu tinggi untuk Sukan SEA. Walaupun kita boleh mendapatkan pingat emas, ia tidak baik untuk pembangunan sukan itu," katanya.

Tunku Imran berkata para atlet tidak boleh melihat kejohanan Sukan SEA sebagai kemuncak kejayaan mereka sebaliknya mensasarkan pencapaian pada tahap yang lebih tinggi.

"Bagi saya, pingat emas bukan segala-galanya, apa yang lebih penting ialah Majlis Sukan Negara memikirkan prestasi atlet mereka dan di mana mereka akan pergi dari situ (Sukan SEA)," katanya.

Sementara itu pada majlis tersebut, Tunku Imran menerima sumbangan daripada penaja-penaja kontinjen negara yang terdiri daripada pengeluar kasut Bata, pembuat pakaian sukan Matsuma dan Milo. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan