Harapan Terengganu Anjur Kejohanan Sepak Super Series Takraw Berkecai - Sukan Ekstra | mStar

Harapan Terengganu Anjur Kejohanan Sepak Super Series Takraw Berkecai

Diterbitkan: Rabu, 2 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Hasrat Terengganu untuk menjadi tuan rumah kejohanan Sepak Takraw Super Series Istaf yang dijadual berlangsung Disember ini berkecai apabila Malaysia tidak dipilih sebagai tuan rumah kejohanan itu tahun ini.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail telah memaklumkan perkara itu kepadanya.

"Saya telah terima e-mel daripada PSM (Ahmad) dua tiga hari lepas memaklumkan berhubung perkara itu. Kita tidak dimaklumkan di mana pula kejohanan itu akan diadakan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Mohd Shapian yang juga Naib Presiden PSM berkata kerajaan negeri telah memberi lampu hijau kepada PSTNT untuk menganjurkan kejohanan tersebut dan sesuatu yang menyedihkan apabila kejohanan itu tidak diadakan di Terengganu.

Beliau berkata Terengganu sebelum ini diberi penghormatan oleh PSM untuk mengelolakan kejohanan itu memandangkan kejayaannya mengendalikan kejohanan-kejohanan besar sebelum ini.

Mohd Shapian berkata kejohanan super series yang dijadual Disember ini merupakan yang kedua daripada lima siri dengan yang pertama diadakan di Bangkok, Thailand awal September lepas.

Beliau berharap kejohanan akhir super series Istaf akan diadakan di Terengganu tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shapian berkata pendaftaran bagi kejohanan antara regu wanita dan Piala Presiden anjuran PSTNT akan ditutup 8 November ini.

Beliau berharap pasukan yang ingin menyertai kejohanan itu supaya membuat pendaftaran lebih awal bagi memudahkan persatuan mengatur jadual perlawanan. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan