Ang, Zandra Ungguli Terbuka Kuala Lumpur

Diterbitkan: Ahad, 30 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan Adrian Ang dan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi muncul juara kategori lelaki dan wanita terbuka Kejohanan Boling Terbuka Kuala Lumpur Antarabangsa 2011 di Kuala Lumpur Megalanes dekat sini, Sabtu.

Pengalaman bermain pada peringkat antarabangsa nyata memberi kelebihan pada Ang yang mendominasi permainan dengan 203 jatuhan pin, berbanding pencabarnya Isaac Russell dari Sarawak yang hanya melakukan 177 jatuhan dalam pusingan akhir 'stepladder' lelaki.

"Kemenangan ini meningkatkan keyakinan saya untuk ke Sukan Sea bulan depan," kata pemenang emas Sukan Asia 2010 itu.

Sementara itu, Zandra Aziela mempamerkan permainan konsisten pada pusingan akhir 'stepladder' wanita apabila mencipta lima strike bagi menghasilkan 215 jatuhan pin sekaligus mengatasi rakan sepasukan Esther Cheah yang terpaksa berpuas hati di kedudukan naib johan dengan 168 mata.

"Saya menganggap kejohanan ini seperti sesi latihan untuk ke Sukan Sea apatah lagi bermain dengan rakan sepasukan Esther, jadi tiada tekanan. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi saya hari ini dan target selepas ini ialah satu emas di Sukan Sea," kata juara Terbuka Malaysia tahun ini.

Ang dan Zandra Aziela masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan RM6,000 serta trofi.

Tempat ketiga terbuka lelaki dan wanita pula menjadi milik atlet kebangsaan Alex Liew dan Wendy Chai.

Pengerusi kejohanan Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim berkata kejohanan itu, yang diadakan semula selepas tujuh tahun, dianggap berjaya dengan penyertaan lebih 200 orang peserta dari dalam dan luar negara.

"Sambutan peserta dan penonton memang bagus, terutama pada kategori 'boys' dan 'girls open' yang berlangsung semalam, di mana ramai ibu bapa hadir memberi sokongan pada anak-anak mereka," katanya yang merancang untuk menganjurkan semula kejohanan itu tahun depan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan