Danny dan Shaaban Gagal Beri Saingan Pada Pusingan Pembukaan

Diterbitkan: Jumaat, 28 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pemain utama negara Danny Chia dan Shaaban Hussin hanya sekadar menunjukkan persembahan sederhana pada pusingan pembukaan Kejohanan Golf CIMB Klasik ASia Pasifik di sini Khamis.

Selepas menamatkan saingan di lapangan The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan, dekat sini, Chia hanya mencatatkan pukulan par 71 untuk menduduki tempat ke-39 manakala Shaaban di tempat ke-41 dengan pukulan satu di atas par 72.

Pada sembilan lubang pertama, Chia melakukan bogey berganda pada par empat lubang keempat dan dikuti tiga bogey pada lubang kelima sebelum memperbaiki pukulan dengan birdie di lubang keenam, ketujuh dan kesembilan.

"Sudah pasti saya tidak puas hati. Saya lebih bangga sekiranya tidak melakukan pukulan buruk pada dua lubang tersebut," kata pemain berusia 39 tahun itu. Katanya beliau gementar pada mulanya tetapi berjaya mengatasinya selepas itu.

Bagi Shaaban pula, yang membuat penampilan kedua pada kejohanan itu, beliau terpaksa mengharungi prestasi tidak menentu dengan tersasar banyak pukulan ke lapangan.

"Bagaimanapun, pukulan putt saya adalah baik dan mendapat semula rentak pada saingan sembilan lubang kedua," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Pemain dari Alor Setar, Kedah, itu melakukan tiga bogey pada sembilan lubang pertama sebelum memperbaiki persembahan dengan dua birdie pada lubang ke-41 dan ke-17.

"Kebangkitan ini adalah permulaan yang baik dan memberi keyakinan. Harap, saya tidak menamatkan kejohanan ini di tangga tercorot," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan