Vijay Mahu Akhiri Musim 2011 Dengan Kejayaan

Diterbitkan: Khamis, 27 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas pemain golf nombor satu dunia Vijay Singh dari Fiji berharap dapat mengakhiri musim 2011 dengan kemenangan.

Bintang berusia 48 tahun dan juara Major sebanyak tiga itu adalah antara pemain elit pada Kejohanan Golf CIMB-Asia Classic yang akan berlangsung di Kelab Golf dan Resort Mines, Seri Kembangan dekat sini.

Kejayaan sulungnya selaku profesional adalah di Kejohanan PGA Malaysia pada 1984, selain turut memenangi Terbuka Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada 1992 dan 2001, iaitu kali terakhir beliau datang ke negara ini.

Secara keseluruhan, beliau mencatatkan 56 kejayaan di seluruh dunia, namun gagal meraih sebarang kejuaraan sejak 2008 yang kebanyakannya berpunca daripada kecederaan.

"Apabila anda bebas daripada kesakitan, anda akan dapat bermain dengan rentak biasa anda. Saya tidak mengalami kesakitan sekarang, saya sihat dan sudah mula melakukan latihan seperti sebelum ini dan banyak memukul bola. Saya tidak sabar menunggu tahun depan.

"Ini kejohanan terakhir saya (musim ini) dan saya berharap dapat mengakhirinya dengan kejayaan besar," katanya.

Vijay juga menyifatkan Malaysia sebagai gelanggang yang bagus untuknya menajamkan kemahiran.

"Saya secara tidak langsung memulakan kerjaya golf saya di sini. Isteri asya berasal dari sini dan saya juga secara harfiahnya mula bermain selaku profesional di Malaysia.

"Rasa bagus dapat kembali ke sini. Sudah lebih 10 tahun saya tidak ke mari. Ada ramai kawan dan keluarga yang saya kenali selama ini dan saya sedih kerana tidak kembali sejak sekian lama," katanya.

Sementara itu, juara bertahan Ben Crane yang gembira dapat kembali bermain pada kejohanan kali ini yakin berupaya mempertahankan kejuaraannya berdasarkan prestasi beliau sekarang.

"Memang seronok dapat kembali dan mengingati semula sesetengah daripada pukulan yang dilakukan tahun lepas. Pukulan yang paling diingati ialah di lubang ke-15 apabila saya melakukan eagle dan birdy di lubang ke-18 untuk menang.

"Memang suatu yang mengujakan untuk menang dengan pukulan yang saya lakukan di lubang ke-18 itu," katanya yang baru saja menjuarai McGladrey Classic dalam Jelajah PGA.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan