Lebih 250 Pelumba Bakal Bawa Cabaran Pada Terbuka Perlis

Diterbitkan: Rabu, 26 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Lebih 150 pelumba bakal membawa cabaran pada Kejohanan Lumba Basikal Terbuka Perlis 2011 selama tiga hari bermula Khamis ini.

Pengarah kejohanan, Maniam a/l Manikam berkata kejohanan siri ke-21 itu antara lain akan disertai para pelumba Vietnam, Thailand, Indonesia dan Laos selain para pelumba tempatan.

Beliau berkata kejohanan itu akan membabitkan tiga kategori iaitu lelaki senior (19 tahun ke atas), lelaki junior (bawah 19 tahun) dan terbuka wanita.

Antara acara utama pada kejohanan itu ialah acara lepas beramai-ramai lelaki senior sejauh 153.7 kilometer (km), lepas beramai-ramai lelaki junior sejauh 93.8 km dan acara lepas beramai-ramai wanita sejauh 93.8 km.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Berbasikal Negeri Perlis (PBPs) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Perlis dan kerajaan negeri Perlis.

Maniam yang juga Setiausaha PBPs berkata laluan pelumba pada kejohanan itu ialah merangkumi seluruh Perlis dan ia secara tidak langsung akan memberi peluang kepada para pelumba luar untuk menikmati panorama negeri ini yang indah.

Beliau juga berharap para pelumba tempatan memanfaatkan kejohanan yang telah dianjurkan sejak 21 tahun lalu itu untuk menimba pengalaman dengan kehadiran para pelumba luar negara.

Mengenai kemungkinan banjir semasa kejohanan berikutan ada ramalan bahawa Perlis akan menerima hujan yang luar biasa minggu depan, Maniam berkata penganjur akan mengubah laluan termasuk menggunakan lebuh raya Kuala Perlis-Changlun sebagai lokasi kejohanan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan