Asum Yakin Pulang Dengan 14 Pingat Emas Dari Palembang

Diterbitkan: Rabu, 19 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) meletakan sasaran 14 emas daripada 57 pingat emas yang ditawarkan untuk acara akuatik di temasya dwi-tahunan Sukan SEA, Palembang dari 12-22 November depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata seramai 64 atlet kebangsaan akan mengambil bahagian dalam lima acara yang dipertandingkan terdiri 25 lelaki dan 39 wanita.

Beliau berkata lima acara tersebut adalah renang, terjun, renang seirama, renang terbuka dan Polo Air (wanita dan lelaki).

"Peserta akuatik merupakan penyumbang besar pingat emas kepada skuad negara pada sukan SEA di Laos (2009) dan Thailand (2007) sebelum ini.

"Kali ini kita agak kurang bernasib baik kerana perenang utama negara Daniel Bego baharu sahaja pulih daripada pembedahan pada bahu dan kemungkinan dia hanya mengambil bahagian dalam beberapa acara sahaja," katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, Selasa.

Zolkples berkata pihaknya tidak meletakkkan sebarang sasaran emas pada Daniel namun satu bonus untuk negara sekiranya dia dapat meraih emas kali ini.

Katanya, bagaimanapun skuad negara mampu meyumbang empat pingat emas daripada sembilan pingat emas yang ditawarkan bagi acara baharu, renang seirama dan renang terbuka.

Beliau meletak sasaran tujuh pingat emas kepada skuad terjun kerana penerjun negara mempunyai kelebihan menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan di Palembang.

Antara atlet yang akan menggalas cabaran ini adalah Daniel Bego, Foo Jian Beng, Yeap Soon Choy, Khoo Cai Lin, Siow Yi Ting (renang), Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson, Leong Mun Yee, Pandalela Rinong, Wendy Ng Yan Yee (Terjun), Heidi Gan, Khoo Cai Lin, Kelvin Yeap dan Vernon Lee (renang terbuka).

Sementara itu, Setiausaha Kehormat ASUM, Edwin Chong berharap pasukan renang terbuka dan pasukan renang seirama mampu memberikan persembahan terbaik.

"Kita harap mereka dapat menyumbang pingat emas dan skuad renang terbuka telah menjalani latihan di Perth, Australia baharu-baharu ini.

"Skuad terjun pula akan menjalani latihan terakhir di Kunming, China selama tiga minggu yang akan bertolak pada Jumaat ini sebelum berlepas ke Palembang pada 10 November," katanya.

Pada edisi di Laos, 2009, peserta acara renang telah menyumbang pingat emas terbanyak kepada negara iaitu sembilan emas, lima perak dan enam gangsa manakala bagi acara terjun enam emas, satu perak dan dua gangsa. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan