Shahidan Yakin Kepimpinan Dalam KOAM Masih Diperlukan - Sukan Ekstra | mStar

Shahidan Yakin Kepimpinan Dalam KOAM Masih Diperlukan

Diterbitkan: Isnin, 3 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yakin kepimpinannya dalam badan sukan itu masih diperlukan walaupun terdapat pandangan negatif berkaitan pembabitan pemimpin politik dalam badan sukan.

Beliau tidak menghadapi masalah memimpin KOAM malah para anggota majlis kesatuan itu sentiasa memberi sokongan dan kerjasama terhadapnya, kata Shahidan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas KOAM di sini malam tadi.

Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim bahawa pemimpin politik tidak seharusnya campur tangan mahupun terbabit menguruskan persatuan sukan di negara ini.

Beliau akan terus memberikan sumbangan kepada badan sukan itu selagi diperlukan, kata Shahidan.

Baru-baru ini, dalam satu temuramah dalam program Kerusi Panas terbitan Radio24 Bernama, Karim dilaporkan berkata bahawa pemimpin politik tidak dapat memberi tumpuan dan komitmen sepenuhnya dalam pengurusan persatuan sukan kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab di pentas politik.

Beberapa anggota majlis KOAM yang ditemui selepas mesyuarat itu berkata, mereka tetap memberi sokongan kepada Shahidan untuk terus menerajui badan sukan itu walaupun beliau adalah pemimpin politik.

Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Johor, S.Rajasegram yang juga anggota Majlis KOAM berkata, beliau sentiasa memberi sokongan padu kepada Shahidan untuk menerajui badan sukan itu.

Katanya, walaupun Shahidan merupakan salah seorang pemimpin politik namun sumbangannya dalam memajukan sukan negara adalah besar.

Seorang lagi anggota Majlis KOAM, S O Appan yang juga Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Perak berkata mereka tidak pernah membangkitkan isu pemimpin politik tidak layak memimpin KOAM.

Sementara itu, Karim yang turut hadir pada mesyuarat khas itu tidak memberi sebarang komen mengenai kenyataannya sebelum ini. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan