Pusingan Kelima GP Basikal Kebangsaan Akan Di Bawa Ke Kuala Lumpur

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix (GP) Kebangsaan Sirkit 5 yang sepatutnya diadakan di Sabah pada Oktober ini akan diubah ke Kuala Lumpur sempena perlumbaan OCBC Cycle Malaysia yang akan diadakan pada 14 hingga 16 Oktober.

"Kita telah membuat keputusan untuk memindahkan venue kejohanan ke Kuala Lumpur, ia akan melibatkan semua pelumba dari seluruh negara.

"Untuk perlumbaan itu, Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur akan menjadi penganjur bersama dengan Kenny Heights (penganjur OCBC Cycle Malaysia)," kata naib presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad.

Katanya perlumbaan kriterium yang diadakan dalam penganjuran OCBC Cycle Malaysia itu akan digunakan oleh pelumba-pelumba untuk memungut mata bagi ranking dalam Sirkit GP Kebangsaan.

Acara berbasikal OCBC Cycle Malaysia itu melibatkan beberapa kategori; Tunggangan Komuniti sejauh 24km, Basikal Roda Tiga 100m bagi kanak-kanak berusia antara dua dan lima tahun dan Perlumbaan Kanak-kanak Mighty Savers 4km (berusia antara 6 dan 12 tahun) serta The Challenge sejauh 52km dan acara jemputan Kenny Heights Ultimate City Race.

Perlumbaan akan dilepaskan dari Dataran Merdeka dan akan membawa peserta melalui jalan-jalan berhampiran seperti Lebuh Pasar Besar, Jalan Mahkamah Persekutuan, Jalan Raja Laut dan Jalan Raja.

Naim berkata perlumbaan itu tidak akan melibatkan pelumba-pelumba kebangsaan yang terpilih untuk mewakili negara ke Sukan SEA.

"Ini adalah kerana pada masa yang sama, mereka akan mengadakan latihan fasa akhir di Chiang Mai, Thailand sebelum berangkat ke Jakarta untuk menghadapi Sukan SEA," katanya.

Sementara itu, pengajur acara OCBC Cycle Malaysia, Spectrum Worldwide menyasarkan kira-kira 3,000 peserta pada acara yang julung kali diadakan itu.

"Acara itu akan menghimpunkan pelumba berpengalaman daripada pelbagai peringkat umur. Menyaksikan pelumba-pelumba Malaysia di jalan-jalan di Kuala Lumpur adalah satu pengalaman yang menyeronokkan dan satu tarikan kepada program OCBC Cycle.

"Acara jemputan Kenny Heights Ultimate City Race pastinya akan menyemarakkan lagi program ini di kalangan pelumba-pelumba tempatan," kata Pengarah Komersil, Angus Gordon.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan