MSN Harap Lebih Ramai Atlet Layak Ke Olimpik 2012

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) berharap lebih ramai lagi atlet negara akan layak beraksi di Sukan Olimpik London 2012.

Pengarah Bahagian Pengurusan MSN, Datuk Abdul Jalil Abdullah, berkata tarikh tutup kelayakan Olimpik masih panjang dan atlet masih mempunyai peluang untuk memburu tempat dengan mengikuti beberapa kejohanan sehingga awal tahun depan.

"Jika lebih ramai atlet layak ke Olimpik London maka secara atas kertasnya peluang untuk membawa balik pingat pun akan menjadi lebih cerah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun sandaran pingat emas negara diletakkan pada sukan yang tersenarai dalam program 'Road To London', tidak bermakna bahawa atlet acara lain tidak mempunyai peluang untuk meraih pingat.

"Saya harap atlet dalam acara lain juga bersemangat untuk memburu tiket bagi beraksi di London," katanya.

MSN telah menyenaraikan enam acara sukan yang mempunyai potensi untuk menyumbang pingat di Olimpik London iaitu badminton, berbasikal (acara trek), terjun, menembak, memanah dan hoki, yang diletakkan dalam program dikenali 'Road To London 2012'.

Atlet negara yang telah layak setakat ini ialah Datuk Lee Chong Wei (badminton), Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Pandelela Rinong (terjun), Yeoh Ken Nee (terjun), Bryan Nickson Lomas (terjun) serta trio memanah kebangsaan, Cheng Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad (acara berkumpulan). -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan