Farid Iringi Zulfahmi Pada MotoGP Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kehadiran penunggang Malaysia, Mohd Farid Badrul Hisham menerusi tiket wildcard dalam kategori 125 cc bersama Muhammad Zulfahmi Khairuddin bakal melakar lembaran baru sukan permotoran negara dalam kejohanan MotoGP Malaysia di Sepang, pada Oktober depan.

Muhammad Zulfahmi berkata kehadiran Mohd Farid memberi suntikan semangat kepadanya dan dapat membantu meringankan beban serta tekanan yang dihadapinya dalam membawa cabaran Malaysia.

"Mohd Farid adalah penunggang yang bagus dan pengumuman Mohd Farid sebagai penunggang wildcard tahun ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Khamis.

Muhammad Zulfahmi merupakan pencabar tunggal Malaysia dalam kategori 125 cc sepanjang dua tahun lepas.

Kejohanan MotoGP Malaysia akan berlangsung di Litar Sepang dari 21 hingga 23 Okt.

Penunggang kelahiran Banting itu yang menduduki tempat ke-17 keseluruhan menyasarkan untuk mengutip mata di gelanggang sendiri dan menamatkan kemarau mata dalam perlumbaan di Motegi hujung minggu ini.

Muhammad Zulfahmi berkata: "Saya berharap dapat mengutip mata di Motegi kerana tiga perlumbaan sebelum ini iaitu di Indianapolis (Amerika), San Marino (Itali) dan Aragorn (Sepanyol) begitu mengecewakan apabila mengalami masalah mekanikal yang menjejaskan persembahan saya," katanya.

Peminat dunia permotoran yang berminat untuk menyaksikan perlumbaan itu boleh mendapatkan tiket semurah RM15 sehari sementara tiket tempat duduk Grandstand Utama dijual pada harga RM120, manakala bagi Granstand F untuk dua hari, masing-masing berharga RM70 dan RM50.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.sepangcircuit.com atau menghubungi talian 03-8778 2222.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan