Harapan Mun Yee Ke Olimpik Belum Kesampaian

Diterbitkan: Selasa, 27 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Harapan penerjun kebangsaan Leong Mun Yee menempah tiket ke Sukan Olimpik 2012 belum kesampaian selepas dia sekadar menduduki tangga keempat pada hari kedua Kejohanan Piala Terjun Asia Ke-4 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.

Beliau bagaimanapun masih berpeluang ke temasya sukan terbesar dunia itu sekiranya mencatatkan kejayaan pada Kejohanan Renang Dunia di London awal tahun depan.

Mun Yee, menyertai acara 10M Platform Wanita, hanya mampu menduduki tempat terakhir setelah mengumpul 329.65 mata di belakang pemenang pingat gangsa yang juga rakan senegara, Traisy Vivien.

Traisy menang pingat gangsa selepas mengutip 333.05 mata dalam acara di mana penerjun China, Kang Li, keluar juara mencatatkan 378.50 mata membawa pulang pingat emas manakala perak penerjun China, Sheng Yi dengan mata 352.15.

Mun Yee berkata kerana sekian lama tidak beraksi dalam acara itu menjadi punca tidak dapat menunjukkan prestasi baik.

"Penyertaan dua penerjun China menyukarkan peluang saya untuk memenangi pingat emas," katanya.

Sebelum ini, tiga penerjun kebangsaan melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik London iaitu Brian Nickson Lomas dalam acara 10M Platform Individu Lelaki, Pandalela Rinong (10M Platform Individu Wanita) dan Yeoh Ken Nee dalam acara 3M Papan Anjal Lelaki.

Skuad terjun kebangsaan juga mempamerkan aksi mengecewakan dalam tiga acara lain.

Dalam acara 3M Papan Anjal Wanita, gandingan penerjun negara, Jasmine Lai Pui Yee dan Kam Ling Kar hanya di tempat kedua di belakang penerjun China, Jia Dong Jin dan Zhang Jun yang memenangi pingat emas dengan catatan 317.40.

Pui Yee dan Ling Kar hanya memungut 274.14 mata meraih perak.

Keadaan sama turut berlaku dalam acara 3M Papan Anjal Lelaki apabila gandingan penerjun negara, Ahmad Amsyar dan Pardika Indoma hanya memperolehi pingat perak mengumpul 355.53 mata.

Acara itu dimenangi oleh gandingan penerjun China, Chi Kai dan Qin Tian, yang mengumpul 414.90 mata untuk menggondol pingat emas.

Selain Malaysia, kejohanan itu, yang akan berakhir Selasa, juga disertai Singapura, Thailand, Indonesia, Macau dan Hong Kong. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan