Pesilat Orang Asli Permata Baru Negara

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri yang melabuhkan tirainya Selasa lepas berjaya membuktikan bahawa skuad kebangsaan tidak pernah ketandusan dalam melahirkan bakat-bakat baru.

Pelapis skuad kebangsaan Zaiton A/P A.Koang umpamanya mungkin agak asing bagi peminat sukan di negara ini namun ketangkasan dan kehebatan beliau ketika di gelanggang membolehkan beliau diangkat oleh wasit pertandingan sebagai Pesilat Puteri Terbaik.

Sebelum itu, pesilat berketurunan Asli-Cina itu berjaya menggondol pingat emas dalam acara Kelas Puteri A setelah menewaskan pencabarnya dari Singapura, Atiq Isnarti Roslan dengan kiraan 5-0 pada kejohanan yang bermula sejak 15 Sept lepas.

Pada edisi kedua yang berlangsung di pusat membeli belah Berjaya Times Square, skuad pelapis kebangsaan yang majoritinya dibarisi penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan berada dalam kelas tersendiri apabila memungut 12 emas, 6 perak dan 3 gangsa untuk merampas kejuaraan daripada negara jiran, Singapura.

Singapura yang merupakan juara bertahan pada edisi sulung kejohanan di Johor tahun lepas hanya mampu memungut 8 emas, 10 perak dan 2 gangsa bagi menduduki tangga kedua kejohanan yang turut disertai 24 IPT dan beberapa negara Asean seperti Indonesia dan Thailand.

Gadis berusia 23 tahun itu yang ditemui Bernama baru-baru ini berkata minatnya dalam sukan tempur itu timbul ketika beliau mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) beberapa tahun lepas.

"Pada awalnya, saya hanya mengikut kawan-kawan di universiti untuk mempelajari silat namun saya tertarik dengan keunikan dan kelebihan yang ada pada silat itu sendiri," kata penuntut jurusan Pendidikan Khas itu.

Bakal guru yang masih menuntut di UPSI itu turut berharap namanya dapat diserap ke dalam skuad elit kebangsaan.

"Memang menjadi harapan saya untuk diserapkan ke dalam skuad elit kebangsaan namun semuanya terletak di tangan jurulatih," kata Zaiton yang juga juara silat Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) tahun ini.

Ketua jurulatih silat kebangsaan Ahmad Faizal Abu Bakar yang ditemui turut memuji persembahan yang dipamerkan Zaiton sepanjang kejohanan lima hari itu.

Jurulatih berusia 43 tahun yang melatih skuad kebangsaan sejak beberapa tahun lepas itu, berkata walaupun ada beberapa nama pesilat pelapis yang menonjol, beliau melihat Zaiton mempunyai potensi tersendiri pada masa depan.

"Sekiranya dia diberi lebih pendedahan dalam beberapa pertandingan akan datang, saya yakin dia akan berjaya pada masa depan," katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk menamakan Zaiton dalam skuad elit kebangsaan sekiranya pesilat itu terus mempamerkan aksi memberangsangkan pada kejohanan bertaraf antarabangsa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan