Terengganu Guna Khidmat Enam Jurulatih Import

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan menggunakan khidmat enam jurulatih import bagi membantu mencapai impian kontinjen negeri itu untuk muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) kali keempat berturut-turut tahun depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Zainal Abidin Hussin berkata tiga daripada jurulatih itu ialah dari Thailand dan masing-masing seorang daripada China, Korea dan Indonesia.

"Kita ambil jurulatih import dalam sukan-sukan tertentu sahaja seperti badminton, gimnastik, taekwondo, judo, sepak takraw dan tinju," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri MSN, di sini, Isnin.

Zainal Abidin berkata ada sesetengah jurulatih itu diambil untuk projek pembangunan sukan selain jurulatih Sukma dan mereka telah mula melatih atlet sejak tiga minggu lepas.

Katanya jumlah atlet yang bakal mewakili Terengganu pada Sukma Kuantan, Pahang, dari 24 Mei hingga 2 Jun tahun depan belum dipastikan tetapi pasukan itu akan menyertai semua 24 acara dipertandingkan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan