Piala Timbalan Perdana Menteri: Pesilat Bukan Melayu Turut Serta

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beberapa kelibat pesilat bukan Melayu dilihat lincah mempamerkan ketangkasan mereka pada Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang sedang berlangsung di pusat membeli belah Berjaya Times Square di sini sehingga esok.

Antaranya ialah gadis berketurunan Orang Asli dan Cina iaitu Zaiton A/P A. Koang, 23, yang mula mempelajari silat sejak tujuh tahun lepas, setelah tertarik dengan keunikan seni mempertahanan diri tersebut.

"Pada mulanya saya hanya mengikut kawan-kawan untuk mempelajari silat namun selepas itu saya tertarik dengan keunikannya.

"Bagi saya, silat cukup berbeza daripada seni pertahanan diri yang lain kerana terdapat banyak kelebihan padanya," kata mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini kepada Bernama.

Mengenai kejohanan tersebut, Zaiton yang berasal dari Pekan, Pahang berkata beliau gembira kerana dipilih untuk mewakili negara.

"Apabila telah dipilih untuk mewakili negara bermakna saya telah diberi tanggungjawab yang penting dan saya tidak akan menghampakan harapan tersebut bagi meraih pingat emas untuk negara," katanya.

Seorang lagi pesilat wanita, Teng Sheu Cher, 22, berasa bangga kerana diberi kepercayaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menyertai kejohanan.

Gadis dari Klang, Selangor ini berkata walaupun gagal di peringkat saringan awal, namun beliau memperoleh pengalaman cukup berharga.

"Jika diberi peluang, saya masih bersedia untuk mengikuti apa-apa kejohanan silat selepas ini," katanya.

Jurulatih dan rakan-rakanya banyak memberi semangat dan dorongan kepadanya untuk terus mempelajari silat, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan