Zolkples Perjelas Tindakan Hentikan Elaun Atlet

Diterbitkan: Selasa, 13 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) tidak pernah mengabaikan kebajikan atlet seperti yang didakwa oleh pelari pecut negara, Norjannah Hafiszah Jamaluddin, mengenai tindakan badan pentadbir sukan itu menarik balik elaun dan kemudahan kepadanya.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata MSN mengambil tindakan itu terhadap Norjannah Hafiszah kerana tidak hadir menjalani latihan sejak Jun lepas.

"Sepatutnya sebagai seorang atlet negara, Norjannah perlu tahu tanggungjawabnya dan tidak sepatutnya melarikan diri pada 26 Mei lepas tanpa memberitahu MSN terlebih dahulu.

"Ibarat pekerja tidak datang bertugas, maka majikan tidak akan bayar gaji, begitu jika MSN tidak akan bayar elaun kepada atlet yang tidak datang berlatih tanpa sebarang alasan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia Dan Sukan, Selasa.

Norjannah Hafiszah bersama lima atlet olahraga lain terdiri Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohammad, Yee Ye Ling, Nurul Sarah Abdul Kadir dan atlet pecut 100m lelaki, Mohammad Noor Imran A.

Hadi didakwa ‘melarikan diri’ daripada ujian antidoping oleh Institut Sukan Negara (ISN) hujung Mei lepas.

Zolkples berkata mana-mana atlet kebangsaan tidak seharusnya mengambil tindakan sedemikian kerana mereka berada di bawah naugan MSN dan persatuan sukan yang mereka wakili.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan