Barbosa, Nguyen Muncul Juara Kejohanan Masters & Terbuka Antarabangsa

Diterbitkan: Ahad, 11 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Grandmaster (GM) Barbosa Oliver dari Filipina dan International Masters (IM) Nguyen Duc Hoa dari Vietnam masing-masing menjuarai Kejohanan Catur Masters Jemputan Raja Nazrin Shah dan Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur di sini Sabtu.

GM Barbosa menerima hadiah RM4,000 serta piala pusingan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah selepas pusingan 'round robin' Masters Jemputan diikuti naib juara GM Vakhidov Johongir dari Uzbekistan. Tempat ketiga disandang oleh GM Bitoon Richard dari Filipina.

Dalam kategori Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur, IM Nguyen menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta piala pusingan diikuti naib juara IM Dimakiling Oliver dari Filipina dan rakan senegara IM Olay Edgar Reggie di tempat ketiga.

Raja Dr Nazrin berkenan menyampaikan hadiah serta piala pusingan kepada pemenang kejohanan tahunan itu.

Kejohanan catur antarabangsa itu dianjurkan oleh Persatuan Catur Kuala Lumpur (KLCA) dengan penajaan dari Masterskill Education Group Berhad (MEGB) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kejohanan selama seminggu itu menyaksikan penyertaan 66 peserta dari seluruh dunia termasuk 16 dari Malaysia.

Antara peserta asing adalah dari Perancis, Amerika Syarikat, India, New Zealand, China, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MEGB, Datuk Seri Edmund Santhara, berkata catur akan dijadikan sebagai mata pelajaran wajib di Kolej Masterskill mulai tahun depan.

"Pelajar diperlukan menghadiri satu jam kredit modul dan berharap dengan pelaksanaan subjek itu ianya membantu melahirkan minda yang lebih kreatif dan kemahiran menyelesaikan masalah yang perlu dimiliki setiap siswazah," katanya.

Edmund, yang juga Presiden KLCA, subjek catur telah pun menjadi pelajaran wajib di beberapa buah sekolah dan universiti luar negara termasuk di Amerika Syarikat dan England. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan