Latihan Di Chiang Mai Pertingkat Prestasi Atlet Sukma Terengganu

Diterbitkan: Selasa, 30 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Latihan fasa pertama pasukan lumba basikal Terengganu di ChianG Mai, Thailand sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2012 dilihat berjaya meningkatkan kemahiran pelumba.

Jurulatih Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata pasukan yang terdiri daripada tiga pelumba lelaki dan tiga pelumba wanita itu telah menjalani latihan selama 28 hari di negara terbabit.

"Latihan tersebut berakhir semalam untuk membolehkan atlet berkenaan berhari raya di kampung," katanya kepada Bernama di sini.

Syed Mohd Hussaini berkata atlet lelaki yang menyertai latihan itu terdiri daripada Mohd Khairul Azizi Abdullah, Mohd Fahmi Irfan Zailani dan Mohd Shahrazi Fuad manakala atlet wanita Norain Mahmud, Zaharah Anuar dan Ilyana Atirah Zailani.

Beliau berkata beberapa lagi atlet wanita tidak dapat menyertai latihan itu kerana menghadapi peperiksaan.

Latihan itu tertumpu kepada teknik kayuhan, meningkatkan kekuatan stamina dan juga disiplin, katanya.

Syed Mohd Hussaini berkata latihan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan atlet basikal Terengganu benar-benar berada di tahap kecergasan tertinggi sebelum turun ke gelanggang.

Beliau berkata latihan di Chiang Mai itu juga disertai pelumba basikal kebangsaan yang akan menghadapi Sukan SEA dan beberapa kejohanan antarabangsa dalam masa terdekat.

Syed Mohd Hussaini yang juga bertindak sebagai penolong jurulatih lumba basikal kebangsaan, berkata latihan tersebut diatur oleh Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Beliau berkata lebih 30 atlet terlibat termasuk atlet kebangsaan dari Terengganu iaitu Shahrul Mat Amin, Sofi Mat Senan dan Mohd Haris Salleh.

Syed Mohd Hussaini berkata Chiang Mai dipilih sebagai tempat latihan pasukan lumba basikal negara kerana tempat dan cuacanya sesuai untuk pelumba. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan