LIMBC 2011 Mahu Tarik Lebih Ramai Pelumba Profesional

Diterbitkan: Khamis, 25 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Edisi kedua perlumbaan basikal lasak, Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) bakal menarik lebih ramai pelumba profesional menyertainya.

Perlumbaan LIMBC dijadual berlangsung di sekitar Pulau Langkawi, Kedah dari 17 hingga 23 Oktober ini.

"Edisi kali ini lebih menarik dengan perlumbaan dijalankan dalam tempoh masa yang lebih panjang.

"Tahun lepas, perlumbaan hanya untuk dua hari dan tahun ini jangka masanya lebih panjang iaitu lima hari untuk perlumbaan peringkat dan dua hari lagi untuk acara jamboree," kata Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Malik Mydin pada sidang akhbar dan penerimaan penajaan di sini, Rabu.

Majlis berkenaan akan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga penaung perlumbaan berkenaan.

Menurut Malik, perlumbaan berkenaan sudahpun berdaftar dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan setiap pelumba akan mendapat mata ranking.

"Tahun lepas, kita tidak menggabungkan pelumba amatur dan profesional. Apabila kita sudah berdaftar dengan UCI, fokus kita ialah kepada perlumba-pelumba profesional," katanya.

Bagi acara jamboree, Malik berkata penyertaan tidak terhad kepada pelumba profesional tetapi terbuka kepada orang ramai.

"Ia bukan bersifat perlumbaan tetapi hanyalah bersifat kayuhan santai. Kami mahu menggalakan orang ramai untuk terlibat dalam sukan berbasikal," katanya.

Malik berkata setakat ini sejumlah 400 peserta telah mendaftarkan diri untuk menyertai perlumbaan itu dan jumlah itu dijangka meningkat sebelum tarikh tutup penyertaan pada 30 Sept.

Sementara itu, Dr Mahathir juga berharap edisi kedua perlumbaan LIMBC akan terus mendapat sambutan baik di kalangan peserta tempatan mahupun dari luar negara.

"Tahun sudahpun sambutannya cukup baik. Seramai 800 peserta ambil bahagian. Saya agak tahun ini mungkin lebih ramai lagi akan menyertainya.

"Saya mahu acara ini disertai juga oleh orang awam dengan lebih santai, mereka datang untuk bercuti sambil menyaksikan perlumbaan diadakan," katanya.

Perlumbaan peringkat LIMBC dibahagikan kepada lima peringkat, di mana peringkat pertama melibatkan jarak sejauh 62 km dan diikuti peringkat kedua pada hari berikutnya adalah acara merentas desa yang dilepaskan dan berakhir di Kampung Tok Senik Resort.

Peringkat ketiga pula menguji daya ketahanan pelumba dengan acara rentas desa enduran tujuh jam, diikuti peringkat keempat melibatkan pendakian dan peringkat kelima pula perlumbaan rentas desa jarak dekat.

Peserta akan dibahagikan kepada empat kategori iaitu Elit lelaki, Elit wanita, Masters lelaki dan Senior Masters lelaki.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan