Skuad Takraw Malaysia Yakin Tumpaskan Thailand Di Sukan Sea

Diterbitkan: Ahad, 21 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Skuad takraw negara yakin dapat tumpaskan Thailand sekaligus muncul sebagai juara dalam persaingan di Sukan Sea Jakarta pada November ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail berkata keyakinan itu adalah berdasarkan satu formula 'belajar dan beramal' yang dilaksanakan oleh persatuan itu.

"Kita telah beri peringatan kepada pemain kita, amalkan apa yang dipelajari, kita telah melantik penasihat khas dari Thailand untuk membantu skuad negara kita berhadapan dengan negara itu," katanya ketika ditemui di sini Ahad.

Malaysia menganggap Thailand sebagai musuh tradisinya kerana sering kecundang kepada skuad negara Gajah Putih itu apabila bertemu di peringkat akhir dalam perlawanan peringkat dunia dan Asia.

Beliau berkata masalah utama pemain ialah mereka sering tidak amalkan apa yang dipelajari apabila berada di gelanggang dan oleh itu PSM menerapkan konsep belajar dan amal segala ilmu yang diberikan.

Ahmad berkata skuad itu yang kini dalam persiapan untuk memilih pemain utama telah menerima bimbingan khas dari aspek fizikal dan mental.

Katanya dalam siri perlawanan persahabatan lima negara yang sedang berlangsung di sini, pemain kebangsaan juga didedahkan mengenai taktikal permainan lawan sebagai persiapan untuk membawa pulang pingat emas Sukan Sea nanti.

Beliau juga meminta media tempatan agar berhenti mengkritik pemain dan persatuannya yang disifatkan sebagai 'kritikan meruntuh' skuad takraw negara.

"Saya meminta media menyuntik semangat kepada para pemain dan bukannya selalu menghentam kita sehingga pemain tertekan apabila membaca akhbar mengenai permainan mereka," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan