Temasya Universiade: Atlet Malaysia Belum Bangkit

Diterbitkan: Selasa, 16 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHENZHEN: Selepas menempuh hari suram, atlet negara perlu menyuntik keceriaan kontinjen negara dalam memburu pingat pertama pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) edisi ke-26, yang masuk hari keempat, Isnin.

Bagaimanapun, persembahan agak memberangsangkan oleh atlet memanah diharap mampu membakar semangat atlet lain untuk meneruskan saingan dalam usaha menepati sasaran satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Kecekalan dan usaha yang ditunjukan oleh pemanah beregu campuran Cheng Chu Sian dan Shahira Abdul Halim bagi acara recurve sambil beraksi dalam cuaca panas terik perlu dijadikan contoh oleh atlet lain.

Atlet lawan pedang Natasha Eryana Mohd Nasir, yang akan bersara selepas Universiade 2011, pulang dengan tangan kosong setelah gagal mara ke perlawanan kedua acara saber individu wanita.

Perenang wanita Khoo Chai Lin pula menjadikan alasan kecelaruan jadual dan faktor keletihan sebagai alasan kepada kegagalannya beraksi cemerlang dalam saingan awal acara 400 meter gaya bebas.

Pada saingan awal itu, Khoo sekadar menduduki tempat ke-22 daripada 32 perenang dengan catatan masa 4:24.04s.

Sementara itu, ketua kontinjen Prof Dr Shaharudin Abdul Aziz berkata acara tumpuan bagi sandaran pingat hanya bermula esok iaitu acara berbasikal trek yang melibatkan individu kejar-mengejar lelaki dan wanita serta perlumbaan mata individu lelaki dan wanita di Longgang Sports Center.

"Kita tidak meletakkan sebarang sandaran khusus untuk atlet namun percaya mereka mampu meraih pingat perak ataupun gangsa dalam masa terdekat ini," katanya.

Prof Shaharudin berharap sesuatu dapat dicapai oleh atlet negara esok dan mengingatkan atlet agar tidak mudah putus asa tetapi sebaliknya terus berusaha. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan