Universiade: Letih Dan Keliru Punca Kegagalan Chai Lin Di Kolam Renang

Diterbitkan: Isnin, 15 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHENZHEN: Kecelaruan jadual dan keletihan antara sebab perenang negara Khoo Chai Lin gagal mempamer aksi cemerlang pada hari keempat temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di sini.

Dalam saingan acara 400 meter gaya bebas wanita, Khoo sekadar menduduki tempat ke-22 daripada 32 perenang dengan catatan masa 4 minit 24.04 saat.

Aksi hambar dan tidak bermaya Khoo hari ini ternyata jauh berbeza daripada rekod terbaiknya pada Terbuka Malaysia, Mei lepas.

Katanya beliau kecewa dengan persembahannya itu dan keliru dengan format jadual dan pertandingan yang disediakan penganjur kerana berbeza dengan kejohanan lain yang disertainya sebelum ini.

"Selalunya kami bermula daripada jarak yang lebih dekat sehingga jauh namun ia berbeza pada Universiade kali ini. Jadi, masa untuk proses pemulihan semakin kurang.

"Ia memang agak mengganggu malah semua pertukaran diberitahu agak lewat. Malah, jurulatih dan pengurus juga tidak tahu. Tetapi saya berharap dapat segera membaiki masa untuk sekurang-kirangnya mendekati masa terbaik saya," katanya.

Selain Chai Lin, dua lagi perenang negara iaitu Chui Lai Kwan dan Leung Chii Lin turut beraksi tetapi gagal memberikan impak untuk sekadar beraksi di peringkat saringan acara 100 meter gaya bebas wanita.

Lai Kwan, yang juga pemegang rekod kebangsaan, sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-34 dengan catatan 58:23s manakala Chii Lin ke-37 dengan catatan 59:31s. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan