Tiga Kejohanan Jadi Medan Persiapan Skuad Judo Negara

Diterbitkan: Isnin, 15 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Judo Malaysia (MJF) menjadikan tiga kejohanan antarabangsa dalam tempoh dua bulan ini sebagai medan persiapan atlet negara ke Sukan SEA di Indonesia yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 November ini.

Setiausaha Eksekutif MJF, I. Mariapan berkata dua daripada kejohanan tersebut telah berlangsung pada awal bulan ini iaitu Kejohanan Judo Terbuka Taipei ke-6 di Taiwan (4-8 Ogos) dan Kejohanan Antarabangsa Kadet Judo di Singapura (13-14 Ogos).

"Satu lagi pertandingan ialah Kejohanan Asia Junior Sport Exchange 2011, di Tokyo, Jepun bermula 22 hingga 29 September depan.

"MJF menghantar atlet-atlet judo ke kejohanan tersebut supaya mereka dapat mempelajari teknik seterusnya mempertingkatkan kemahiran taktikal daripada peserta handalan Asia yang bertaraf antarabangsa," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Mariapan berkata walaupun atlet negara tidak memenangi sebarang pingat dari Taiwan serta meraih tiga emas dari Singapura, namun prestasi mereka semakin meningkat di samping memperoleh pengalaman berharga.

Katanya mengikut perancangan MJF, pasukan judo akan menjalani latihan pusat di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor pada September depan di bawah kendalian jurulatih dari Mongolia, Maralgerel Darmbiinyam.

Menurut Mariapan seramai empat atlet kategori A dan sepuluh dari kategori B telah dipilih untuk menggalas cabaran negara pada Sukan SEA nanti.

"Senarai atlet telah dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan setakat ini kita masih menunggu pengesahan mereka sebelum senarai penuh atlet boleh diumumkan," katanya.

Skuad judo negara yang mengutip satu pingat perak dan tiga pingat gangsa ketika beraksi di Sukan SEA, Laos dua tahun lalu mensasarkan untuk meraih dua pingat emas pada temasya November ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan